Mengapa kerajaan tawarkan pilihan untuk dasar yang terbukti gagal? soal Abim

Mengapa kerajaan tawarkan pilihan untuk dasar yang terbukti gagal? soal Abim

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mempertikai kedegilan kerajaan untuk terus mengajar mata pelajaran sains, matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris melalui Program Dwi-Bahasa (DLP).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mempertikai kedegilan kerajaan untuk terus mengajar mata pelajaran sains, matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris melalui Program Dwi-Bahasa (DLP).

Setiausaha Agungnya, Faisal Abdul Aziz berkata, program mirip dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu terbukti gagal mencapai matlamat penguasaan dalam bahasa tersebut bahkan menjejaskan pemahaman pelajar dalam subjek-subjek terlibat.

“Abim juga ingin melahirkan kehairanan mengapa kerajaan memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih sesuatu dasar yang sudah terbukti gagal?

“Rujukan kami adalah kajian terhadap dasar PPSMI yang dibuat oleh Jemaah Nazir Persekutuan KPM sendiri menerusi sampel ke atas 1942 murid tahun 5 kohort 2 (2004) dari 56 sekolah yang menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) meliputi 90 sekolah rendah mendapati mata pelajaran Sains menyumbang peningkatan penguasaan bahasa Inggeris hanya 0.7 peratus manakala Matematik tiada langsung sumbangan untuk tujuan tersebut.

Ujarnya, kajian yang sama ke atas 70 sekolah menengah aliran sastera dan sains pula menunjukkan subjek sains dan matematik juga menyumbang kurang 1 peratus penguasaan bahasa Inggeris.

“Sekolah menengah (aliran sastera) bagi subjek Matematik hanya 1.0%, dan subjek Sains hanya 0.6%. Bagi sekolah menengah (Sains) Kimia 2 hanya 0.6% dan Matematik Tambahan 0.3%,” jelasnya memetik kajian yang keseluruhannya merangkumi 15,089 pelajar di bandar, luar bandar, sekolah pedalaman, dan pulau itu.

Selain itu, ujarnya, hasil ujian antarabangsa iaitu TIMMS 2007 dan PISA 2012 ketika pelaksanaan PPSMI menunjukan kedudukan Malaysia menjunam kepada kumpulan satu pertiga terbawah berbanding TIMMS 1999 & 2003, Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara.

Mengulas dakwaan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan kononnya DLP adalah program pilihan dan baik untuk diteruskan, beliau berkata, keputusan tersebut seolah-olah menunjukkan kerajaan sengaja mewujudkan perlumbaan antara bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

“Walhal, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memelihara, memartabat dan memperkasa bahasa kebangsaan serta mencorak identiti pelajar sekolah kebangsaan berdasarkan asas pendidikan kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abim menyifatkan kerajaan melakukan satu kesilapan besar apabila membuka pilihan untuk diajar subjek seperti sains, matematik dan teknologi di Sekolah Kebangsaan dalam bahasa Inggeris menerusi DLP.

Dalam hal berkaitan, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terdiri daripada ahli akademik, NGO, parti politik, aktivis masyarakat, sasterawan, penuntut, seniman dan budayawan yang menyertai perarakan mengusung Keranda 152 kali ketiga dalam sejarah negara pada 26 Mac, Sabtu lalu.

“Himpunan tersebut sebagai manifestasi kepada kekecewaan terhadap tindakan kerajaan yang memungkiri janji untuk memartabat Bahasa Kebangsaan dan memansuhkan dasar atau program mirip PPSMI,” tambahnya lagi.

TAGS