Menjelang Bersih 5: ‘Perjuangan mereka palsu’, tuduh Najib

Menjelang Bersih 5: ‘Perjuangan mereka palsu’, tuduh Najib

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Langsung sama sekali tidak menyebut perkataan Bersih 5, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menuduh himpunan yang bakal berlansung esok sebagai perjuangan palsu.

“Tidakkah sudah terang lagi bersuluh, bahawa perjuangan mereka adalah palsu dan perhimpunan ini hanyalah gerakan parti pembangkang yang berselindung sebagai NGO non-partisan untuk menentang kerajaan yang dipilih rakyat?” katanya di petik daripada status Facebook rasmi beliau yang dimuatnaik kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Ungkapan berkenaan juga sebahagian daripada kenyataan Presiden Umno itu dalam najibrazak.com yang diberi tajuk “Ucapan Perdana Menteri Mengenai Sandiwara Perhimpunan Pembangkang”.

Dalam ucapan berdurasi 2.07 minit itu, Najib menuduh parti pembangkang di negara ini mempergunakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan memerangi rasuah untuk menekan kerajaan melalui perhimpunan.

“Semua sedia maklum, NGO ini adalah boneka pembangkang. Daripada perhimpunan kedua hinggalah kelima, pemimpin pembangkang yang mengetuai rusuhan-rusuhan ini,” katanya.

Najib yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sarat hutang itu turut mengimbas kembali apa yang dianggapnya berlaku pada siri himpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih sebelum ini.

“Pada perhimpunan kedua, mereka mengganas di Kuala Lumpur hingga menterbalikkan kereta polis. Perhimpunan ketiga pula, mereka mendengar arahan ketuanya merempuh halangan polis sehingga menimbulkan kekecohan.

“Pada edisi keempat pula, mereka bersorak untuk menjatuhkan parti pemerintah, tetapi memanggil diri mereka non-partisan,” dakwanya.

Mengulas himpunan esok di Dataran Merdeka, Najib menganggapnya sebagai “menjunjung pemimpin pembangkang yang sudah didakwa melakukan rasuah, padahal mereka kata mahu memerangi rasuah.”

Turut menyifatkan majoriti rakyat sudah lali akan taktik pembangkang, Najib mendakwa rakyat kononnya hanya mahukan khidmat bakti daripada kerajaan.

“Itulah yang saya dan pasukan saya akan terus lakukan,” tegasnya yang juga suami kepada Penaung Projek Permata Negara (Permata), Rosmah Mansor itu lagi.

TAGS