Menteri jamin subsidi minyak masak kekal

Menteri jamin subsidi minyak masak kekal

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata rakyat akan terus menerima subsidi minyak masak daripada kerajaan.

“Kita tidak usik rakyat, mereka tetap akan dapat subsidi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang memetik Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) mendakwa harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan depan, susulan pemansuhan subsidi oleh kerajaan.

Johari bagaimanapun berkata langkah bagi mengatasi ketirisan subsidi minyak masak perlu diberi perhatian serta memuji ketegasan langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam menangani isu berkenaan.

“Apa yang berlaku subsidi minyak masak kerajaan beri diguna pakai untuk jualan eksport, itu yang kita nak kawal,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata lesen perniagaan pemborong dan pembekal minyak masak akan ditarik balik jika mereka didapati menyorok bekalan bahan tersebut bagi mengaut keuntungan.

TAGS