Menuju enam dekad pembinaan bangsa Merdeka

Menuju enam dekad pembinaan bangsa Merdeka

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

“Pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan formula kepelbagaian dalam kesatuan. Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan” – Datuk Dr. Siddiq Fadzil.

Kita telah dihidangkan dengan retorika-retorika perpaduan versi kleptokrat, yang masih gemar berselindung di sebalik wajah perkauman.

Hal ini jelas membuktikan, walapun kita telah memacu kenegaraan melewati 5 dekad bersama, namun jaminan dalam memperoleh dinamika kemajuan masih kabur.

Pun begitu, saya yakin dengan inisiatif-inisiatif kecil yang bakal menjana perubahan besar dalam lanskap kewarganegaraan Malaysia. Bersama terus kita nyalakan obor perpaduan dan kesepakatan.

Saya diingatkan dengan usaha Pak Abu dari Blok H Apartment KTM Lengkok Abdullah di Parlimen Lembah Pantai, yang menghimpun masyarakat setempat dan serumpun dalam sambutan pra kemerdekaan mereka.

Acara yang dimulakan dengan pertandingan pakaian kebangsaan era Merdeka, permainan tradisi congkak, dan kesukanan semuanya diatur di dalam kerangka patriotisme.

Ingatlah, kesepakatan antara kita yang dikongsi bersama keluarga, kejiranan dan masyarakat setempat merupakan intipati dalam membina Malaysia yang lebih baik.

Enam dekad menuju negara Merdeka memperlihatkan bahawasanya masih banyak yang perlu kita perbaiki dan kita bina bersama.

Enam dekad menuju negara Merdeka memperlihatkan keperluan menangani masa depan anak-anak muda yang kini dibebankan dengan kos sara hidup dan peningkatan statistik bankrupsi sebanyak 178% bagi mereka di bawah umur 25 tahun.

Enam dekad menuju negara Merdeka menuntut kita merencana Agenda Ekonomi Malaysia seperti dicanang Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 2007 lagi memerangi rasuah, salah guna kuasa, pembaziran dan mengembalikan aset, kewangan dan khazanah negara dalam memenuhi keperluan serta kebajikan rakyat terbanyak.

Rakyat telah memerah keringat, darah dan air mata dalam membina 59 tahun negara yang Merdeka ini.

Makanya, kemerdekaan harus lahir daripada dhamir dengan keyakinan untuk meraih masa depan yang terjamin dari segi sosio-ekonomi, keterbukaan dan keberkesanan urus tadbir dan kepimpinan politik yang prihatin.

Salam menuju 6 dekad kemerdekaan daripada saya, meniti hari-hari menjelang pembentukan Malaysia.

Saya terus tekun mewakili tanah air di Alpbach selaku tetamu jemputan kerajaan Austria, menyambut hari lahir tanah air dengan semangat kemerdekaan walau dalam mendepani cabaran yang melanda.

Dirgahayu Tanah Airku !

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

CATEGORIES