Mesti cari mekanisme untuk satu lawan satu

Mesti cari mekanisme untuk satu lawan satu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Selepas timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub membuka tirai Konvensyen Pakatan Harapan hari ini dengan menyampaikan mesej agar jangan keliru dengan musuh di tengah jalan, naib pengerusi DAP Kebangsaan M. Kulasegaran pula menegaskan tentang pentingnya satu lawan satu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, walaupun mustahil untuk Pakatan Harapan bersama-sama dengan parti pembangkang yang lain namun mereka mesti mencari mekanisme untuk merealisasikan matlamat itu.

“Ramai bekas menteri, menteri dalam Pakatan Harapan. Apa lagi mahu? Kita (Pakatan Harapan) satu yang tiada? Korupsi.

“Bagaimanapun pada PRU akan datang, mesti berlaku satu lawan satu. Saya tahu perkara yang sangat mustahil adalah bagaimana kita bersama parti-parti pembangkang lain.

“Kita selesaikan perkara dalaman. Kita perlu satu mekanisme untuk selesaikan,” katanya.

Beliau mencadangkan semua ahli parlimen Pakatan Harapan turun melaksanakan kerja pilihan raya khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya berpendapat ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan patut keluar membantu, terlibat cari jalan untuk menang kerusi ditandingi pada PRU akan datang walaupun SPR ubah persempadanan semula.

“Apa susah untuk kita dapat undi di luar bandar? Kalau kita menggunakan adun, ahli parlimen supaya turun ke luar bandar, saya percaya kita boleh ubah,” katanya.

Konvensyen yang berlangsung di Ideal Convensyen Centre (IDCC), Shah Alam ini dijangka bakal mempersiapkan PH dan rakan-rakannya untuk mengemaskan jentera mereka bagi menghadapi PRU akan datang.

Pagi ini, para setiausaha dan sayap-sayap kepada parti-parti PKR, DAP dan Amanah akan bersidang bersama manakala para pemimpin utama mereka akan bersidang petang ini.

Di samping ucapan pemimpin sayap, isu-isu juga akan dibahaskan pagi ini sebelum dibawa ke sidang para pemimpin utama petang ini.

TAGS