Miliki Lesen AP: Pemimpin DAP berniat jahat, iri hati dan dengki, kata Jamal

Miliki Lesen AP: Pemimpin DAP berniat jahat, iri hati dan dengki, kata Jamal

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos beranggapan pihak yang mempersoalkan bagaimana beliau memperoleh Lesen Import (AP) kenderaan sebagai berniat jahat, iri hati dan dengki.

 

 

 

 

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Jamal Md Yunos Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos beranggapan pihak yang mempersoalkan bagaimana beliau memperoleh Lesen Import (AP) kenderaan sebagai berniat jahat, iri hati dan dengki.

Jamal berkata, AP yang diperolehnya itu sejak lapan  tahun  lalu bukannya ketika beliau aktif dalam politik.

“Saya sudah berniaga 27 tahun di Selangor sejak usia 18 tahun lagi. Saya sudah 15 tahun berniaga kereta.

“Saya adalah seorang usahawan sebelum saya ceburi politik tiga tahun dulu bila bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian saya menang. Sebelum ini saya ahli biasa yang tak aktif.

“Apa yang beliau mempersoalkan itu berniat jahat, iri hati dan dengki,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Jamal diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng semalam dipetik berkata,  mahu Jamal menjawab berapa banyak AP kereta import yang diberikan kepada syarikat kenderaannya.

Menjelaskan hal itu Jamal berkata, beliau mendapat peluang untuk membeli saham dalam sebuah syarikat IBM Automobil lapan tahun lalu.

“Saya dapat peluang membeli sedikit saham daripada IBM Automobil atas usaha saya sendiri bukan babitkan politik lapan tahun lalu.

“Apabila saya masuk dalam syarikat ini sebagai rakan kongsi saya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.

“Apabila saya menjadi Ketua Umno Bahagian saya meletakkan jawatan itu kemudian dilantik sebagai Pengarah syarikat,” ujarnya.

Ditanya berapakah banyak AP yang diperoleh oleh beliau sebagai Pengarah, Jamal enggan mendedahkan.

“Pembahagian AP ini mengikut kemampuan syarikat yang telah diaudit setiap tiga bulan.Oleh kerana saham saya kecil dalam syarikat yang mempunyai enam orang ahli lembaga pengarah, sudah tentu bahagian saya yang kecil.

“Lagipun daripada 94 buah syarikat bumiputera yang diberikan AP syarikat saya yang paling sedikit dapat AP. Saya tak nak sebut jumlahnya kerana saya bukan pemegang saham yang besar dalam syarikat ini, nanti saya pula kena saman mendedahkannya,” terangnya.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia turut mempersoalkan kewajaran Lim Lip Eng mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Adakah pemimpin DAP beranggapan mana-mana usahawan seperti saya ini harus meletakkan jawatan kerana berkecimpung dalam politik dan harus memberikan apa yang saya perolehi atas usaha saya sendiri kepada orang lain?

“Adakah beliau beranggapan orang Umno tidak boleh berniaga merebut peluang ditawarkan kerajaan.

“Inilah ciri pembangkang menuduh apa sahaja tanpa usul periksa

“Dalam syarikat saya itu ada enam orang pemegang saham termasuk saya, adakah salah?,”soalnya.

Malah Jamal juga menempelak Lim Lip Eng kerana menegur untuk mencari publisiti kerana mendakwa kerajaan Selangor pilih kasih tidak mempertahankan resortnya yang dirobohkan berbanding seorang pengusaha nasi lemak Siti Hajar Ahmad yang diberikan lesen berniaga.

“Saya nak nasihatkan pemimpin DAP jagalah periuk nasi mereka sendiri.

“Di Selangor banyak rumah urut,disko, pusat judi siapa pengusahanya adakah orang Melayu? Semuanya DAP kerana itu mereka senang dapat lesen kerana 15 kerusi DAP di Selangor memainkan peranan menolong kroni mereka untuk dapat peluang perniagaan di negeri itu.

“Lagipun siapa Lim Lip Eng itu untuk bercakap soal politik di Selangor?

“Jangan sibuk-sibuk campuri isu Selangor seolah-olah tidak ada pemimpin DAP di Selangor bila DAP Wilayah Persekutuan pula campur tangan.

“Jika nak cakap isu di Selangor bertandinglah di Selangor dalam PRU 14 nanti,” ujarnya.

Artikel Berkaitan : Kegigihan Jamal cari publisiti harus dipuji

TAGS