Minggu orientasi mahasiswa untuk apa?

Minggu orientasi mahasiswa untuk apa?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hari ini hampir semua universiti telah selesai menjalani minggu orentasi untuk mahasiswa baharu. Beberapa hari sebelum keputusan UPU dikeluarkan tempoh hari, netizen dikejutkan dengan satu gambar yang menunjukkan tentatif Minggu Orentasi Mahasiswa Universiti Malaya sesi 1970.

Program itu sarat dengan aktiviti-aktiviti forum yang menyentuh isu-isu nasional yang kini dilihat terlalu jijik untuk dibawa di kampus.

Setelah Akta Universiti Kolej Universiti diperkenalkan, sepertinya pengisian-pengisian seperti ini sukar untuk dilaksanakan. Persatuan mahasiswa pula telah diturunkan darjatnya kepada Majlis Perwakilan Pelajar, yang sekali-sekala aku lihat hanya bertindak seperti staf tambahan universiti.

Program orentasi kini dipegang sepenuhnya oleh HEP untuk menentukan inti dan pengisian program.

Program orientasi pada tahun 70-an memberi kebebasna kepada mahasiswa untuk mengendalikannya.Apabila saya melihat pengisian-pengisian yang berlaku di kebanyakkan universiti semasa orentasi, membuatkan aku terfikir, apa istimewanya menjadi mahasiswa? Aktiviti-aktiviti yang ditawarkan kelihatannya sudah pun dilakukan pada zaman persekolahan dahulu. Bersorak-sorak, fasilitator berdrama, dan menyanyi sambil hentak-hentak kaki mengikut lagu tema. Ini semua telah pun dialami dalam alam persekolahan.

Minggu orentasi merupakan program pertama mahasiswa-mahasiswi. Pelajar-pelajar baharu ini pula telah melalui satu proses pendidikan formal yang panjang, lebih kurang 12-15 tahun sebelum bergelar pelajar sarjana muda. Apabila sajian pertama yang mereka terima adalah program yang sekadar mengajar mereka bersuka ria, terkinja-kinja, mencipta cheers dan sesi dialog sekadar membincangkan silibus kursus atau hanya hal-hal terkait universiti maka mentaliti kebanyakkan mahasiswa akan terkurung.

Sindrom utama yang perlu dibendung dalam kalangan mahasiswa sekarang adalah sindrom selfish, mereka hanya memikirkan periuk nasi mereka tanpa menghiraukan isu-isu kemasyarakatan apatah lagi isu-isu negara. Pada mereka cukuplah sekadar belajar sekuat yang boleh, meraih pointer yang bagus dan akhirnya nanti boleh bekerja di bawah penghawa dingin dengan gaji yang enak.

Hal ini juga membawa kepada kemandulan mahasiswa yang mahu memainkan peranan mahasiswa yang sebenar(menjadi faktor pendesak, pemain intelektual dan pengubat kepada masalah masayarakat), dan menyebabkan mereka-mereka yang sedang mengisi peranan mahasiswa di dalam negara kelihatan radikal. Kebanyakkan mahasiswa selesa untuk menjadi mahasiswa ‘lambak’ kerana jumlahnya yang banyak.

Mereka melihat tidak ada yang salah untuk menjadi mahasiswa biasa-biasa kerana ramai orang melakukan perkara yang sama. Saya yakin sekiranya program orentasi ini dapat direformasikan, maka beberapa puluh tahun ke hadapan, kita akan melihat semula zaman kegemilangan mahasiswa akan berlaku.

Masalah minggu orentasi mahasiswa baharu ini semakin kritikal apabila di sesetengah universiti program ini dijadikan platform untuk menjual calon-calon pro-HEP yang akan bertanding pada pilihan raya kampus tidak lama lagi. Selalunya calon-calon ini diberikan jawatan-jawatan yang besar agar lebih menonjol dan tinggi sifat ‘sayangnya’ kepada mahasiswa baharu. Pelajar-pelajar tahun satu sering menjadi mangsa ‘liwat’ ideologi apabila memasuki kampus.

Seperti kambing biri-biri mereka senang dibaham oleh serigala-serigala yang kelaparan. Kebanyakkan mereka juga malas berfikir dan mudah didoktrin. Akhirnya nanti menjelang pilihan raya kampus, pelajar-pelajar tahun satu ini cenderung memilih fasi-fasi tadi atas dasar terhutang budi tanpa melihat dan mengkaji asal-usul atau manifesto yang ditawarkan. Taktikal ini popular, dan hampir setiap tahun kebanyakkan mahasiswa akan jatuh pada perangkap yang sama.

Tidak ada tradisi yang tidak boleh dipecahkan, tradisi-tradisi yang ‘melemaukan’ mahasiswa ini harus dihentikan dengan segera. Sudah masanya juga minggu orentasi mahasiswa ini diserahkan semula kepada mahasiswa untuk mengatur dan menjayakanya. Sejarah menjadi saksi bahawa mahasiswa mampu untuk mengendalikan program orentasi ini tanpa perlu dikawal oleh sesiapa!

Penulis Rahman Imuda adalah  Naib Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Kelantan, dan Yang DiPertua Ikatan Anak Muda Tawau.

CATEGORIES