Minyak sawit perlu lepasi halangan rantau Eropah

Minyak sawit perlu lepasi halangan rantau Eropah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Minyak sawit amat bergantung kepada kesepakatan suara Eropah bagi menangani pelbagai cabaran termasuk cukai punitif dan label ‘tiada minyak sawit’ di rantau tersebut, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini.

Katanya, Malaysia bimbang penggunaan label tiada minyak sawit terus bercambah walaupun tidak ada asas yang kukuh, dan ini, termasuk percubaan oleh ahli parlimen Eropah yang mahu mengenakan cukai punitif ke atas minyak sawit.

“Tahun ini, cabaran datang daripada pihak berkuasa Perancis,” katanya.

“Bagaimanapun selepas campur tangan dan penjelasan Malaysia, termasuk sokongan daripada ‘French Alliance for Sustainable Palm Oil’ dan lain-lain perikatan, rang undang-undang itu akhirnya dibatalkan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua tetapi anda perlu terus menyuarakan kebimbangan berkaitan dengan cukai punitif ini. Dalam isu ini, suara Eropah yang sepakat mampu mengatasi halangan ini daripada berterusan,” katanya pada Persidangan Minyak Sawit Eropah di Warsaw, Poland.

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk M. Nagarajan.

Menurut Mah, Malaysia amat komited ke arah pengeluaran minyak sawit yang mampan dan industri tersebut memiliki kawal selia yang terbaik di dunia.

Di Malaysia, ia menyediakan pekerjaan kepada lebih daripada sejuta orang malah ia menerima pelaburan yang besar dalam penyelidikan serta penemuan pemakanan disamping memiliki perbandingan amalan dan standard terbaik, katanya.

Baru-baru ini, Agensi Keselamatan Makanan Eropah (EFSA) mengetuai perbahasan mengenai kemungkinan bahan cemar seperti 3-monochloropropanediol (3MCPD) dalam semua minyak dan lemak makanan yang boleh memberi kesan kesihatan yang buruk, bahan ini dilaporkan terdapat dalam minyak sawit.

Mah menekankan bahawa Malaysia memandang serius perkara itu khususnya soal yang berkaitan dengan keselamatan makanan dan tidak akan berkompromi dengan kesejahteraan pengguna minyak sawit.

“Dalam konteks ini, kerajaan bersedia untuk menyediakan insentif bagi mengalakkan penggunaan teknologi pengilangan dan penapisan yang mampu mengurang atau menghapuskan bahan cemar ini,” katanya.

Sebaik sahaja teknologi tersebut terbukti, ia akan diguna pakai di seluruh industri dan minyak sawit Malaysia akan diberi sambutan baik disebabkan ketiadaan bahan cemar.

“Jika perlu, kami bersedia untuk mematuhi mandat tersebut selepas berunding dengan EFSA, CODEX (Standard untuk Lemak dan Minyak Makanan) serta pengguna global kami,” katanya.

CATEGORIES
TAGS