MKN Sabah hantar pulang 470 PATI Filipina di Sandakan

MKN Sabah hantar pulang 470 PATI Filipina di Sandakan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneruskan penghantaran balik Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah membabitkan 470 warganegara Filipina yang dihantar pulang dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga Filipina, semalam.

Pengarah MKN Sabah Datuk Rodzi Md Saad berkata daripada jumlah itu, seramai 433 PATI adalah lelaki dewasa, 32 wanita dewasa dan lima kanak-kanak lelaki serta perempuan, yang kesemuanya berusia di antara setahun hingga 62 tahun.

Mereka terdiri daripada 230 PATI dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu dan 240 orang lagi dari PTS Tawau, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya penghantaran pulang PATI yang dilakukan secara serius dan berterusan oleh MKN Sabah menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membanteras PATI di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya semua pihak khususnya majikan dan orang awam haruslah menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan mengelak daripada menggaji atau melindungi PATI, sebaliknya menyampaikan maklumat mengenai kehadiran mereka.

TAGS