MO1: MP Amanah mahu campurtangan Yang Dipertuan Agong

MO1: MP Amanah mahu campurtangan Yang Dipertuan Agong

Ahli Parlimen dari Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi memohon perkenan baginda berhubung tindakan saman Datuk Husam Musa dan Matthias Chang di Amerika Syarikat (AS) bagi menuntut semula wang yang dicuri melalui 1MDB.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen dari Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi memohon perkenan baginda berhubung tindakan saman Datuk Husam Musa dan Matthias Chang di Amerika Syarikat (AS) bagi menuntut semula wang yang dicuri melalui 1MDB.

Mereka yang diwakili ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memohon YDPA campur tangan dalam isu berkenaan memandangkan tiada tindakan yang diambil kerajaan.

Sedangkan Majlis Raja-raja Melayu yang bersidang pada 7 Oktober 2015 telah meminta kerajaan Malaysia menangani dengan baik dan menyelesaikan masalah 1MDB.

“Patik memohon sokongan ke Bawah Duli Tuanku ke atas tindakan ini sebagai satu usaha mengembalikan hak rakyat Malaysia dan mengelakkan kedaulatan negara dari tercemar.

“Maka, sokongan ke Bawah Duli Tuanku penting kerana ia melibatkan kepentingan negara dan rakyat seluruhnya,” kata kandungan surat tersebut yang ditunjukkan kepada pemberita selepas selesai mengadap pihak istana.

Surat tersebut ditandatangani enam ahli Parlimen Amanah iaitu Khalid Samad (Shah Alam); Datuk Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu); Dr Hatta Ramli (Kuala Krai); Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja); Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar) dan; Hanipa Maidin (Sepang).

Surat itu diterima oleh Pegawai Perhubungan Istana Negara Mohd Husni Yusup.

Bercakap kepada pemberita, Khalid berkata, surat ini merupakan surat pertama yang diserahkan sebagai menyokong tindakan Husam dan Mathias sebelum surat dari Husam sendiri menyusul.

“Ini tindakan kita sebagai ahli Parlimen Amanah sebagai menyokong tindakan Datuk Husam dan Mathias.

“Datuk Husam secara peribadi juga akan menyerahkan surat beliau kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Mereka juga melahirkan kekesalan terhadap ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad yang mengaitkan YDPA dengan pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap “Malaysian Official One”.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun), Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, YDPA boleh memainkan peranan baginda di bawah peruntukan perlembagaan Persekutuan.

“Tuanku Agong boleh memainkan peranan baginda di bawah peruntukan perlembagaan Persekutuan untuk memastikan bahawa kes 1MDB yang melibatkan kepentingan rakyat dapat ditangani dengan baik seterusnya dapat membawa pihak yang tidak bertanggungjawa tersebut ke muka pengadilan,” katanya.

Husam dan Matthias mengambil tindakan saman sivil ke atas lapan individu dan syarikat di Amerika Syarikat bagi menuntut gantirugi dari mereka diatas kehilangan wang 1 Malaysia Development Berhada (1MDB).

Saman itu difailkan di Mahkamah Daerah New York Selatan Khamis, 11 Ogos lepas (Jumaat 12 Ogos waktu Malaysia) oleh sebuah firma guaman di sana.

Lapan defendan yang dinamakan Husam dan Matthias adalah Riza Shahriz bin Abdul Aziz, Low Taek Jho, Golman Sachs Group Inc, Timothy Leissner, Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson, Metropolis 1X Capital Advisors.

Red Granite Pictures adalah penerbit filem Wolf of Wall Street; syarikat yang diasaskan bersama Christopher Joey McFarland; Riza Aziz dan Jho Low, ahli perniagaan dari Pulau Pinang yang dikatakan kawan kepada Riza.

Bank pelaburan Goldman Sachs turut dinamakan bersama bekas pengurus banknya Timothy Leissner, yang mengatur bon dengan nilai berbilion dolar daripada 1MDB. Timothy didakwa mengambil sogokan dalam bentuk komisen.

Turut dinamakan ialah pengurus perniagaan Riza, Debra Whelan Johnson dan syarikatnya, Metropolis 1X. Mereka dituduh menguruskan wang Riza dengan pengetahuan ia diselewengkan.

Menurut dokumen mahkamah, Matthias dan Husam mendakwa semua defendan sedar menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi masing-masing, termasuk menganjurkan parti untuk bintang Hollywood Leonardo DiCaprio.

TAGS