Mohamad Nizar ziarah Mufti Perak

Mohamad Nizar ziarah Mufti Perak

Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menziarahi mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria di kediamannya baru-baru ini.

Harussani yang dalam keadaan uzur akan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) Selasa ini.

Turut hadir wakil Angkatan Wanita Amanah (Awan) Gopeng dan Awan Batu Gajah.

Ziarah diakhiri dengan bacaan doa oleh Nizar memohon Allah SWT memberi ketabahan kepada Harussani dan keluarga.

Ketika menjawat menteri besar, hubungan Nizar dengan Harussani disifatkan sebagai dingin.

Ini ekoran penglibatan Harussani sebagai orang tengah kepada cadangan pembentukan kerajaan campuran Pas dan Umno selepas pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Umno/BN kecundang buat pertama kalinya di Perak.

Bagaimanapun cadangan itu ditolak Mursyidul Am Pas, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah Almarhum menteri besar Kelantan itu mahu Pas membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Perak bersama DAP dan PKR.

Bagaimanapun kerajaan Pakatan Rakyat Perak hanya bertahan selama setahun ekoran dua Adun PKR dan seorang Adun DAP mengambil keputusan menjadi Adun Bebas pro-BN.

Nizar kini menjawat Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Perak dan Timbalan Pengerusi Amanah Perak.

Nizar dan rombongan Amanah Perak bergambar bersama Harussani seusai ziarah.

TAGS