MP Amanah jelaskan  kenapa DoJ tidak sebut siapa MO1

MP Amanah jelaskan kenapa DoJ tidak sebut siapa MO1

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad hari ini menjelaskan sebab Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat tidak menyebut nama sebenar “Malaysian Official 1” (MO1).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Khalid Abdul Samad Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad hari ini menjelaskan sebab Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat tidak menyebut nama sebenar “Malaysian Official 1” (MO1).

Beliau berkata, MO1 yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak disebutkan secara terus terang kerana harta yang dirampas tidak ada atas nama Najib.

Namun katanya, keterlibatannya disebut walaupun bukan sebagai salah seorang penama dan pemilik harta.

“Kita telah bertemu dengan pihak kedutaan-kedutaan yang terlibat dalam soal rampasan harta 1MDB ini dan pihak kedutaan AS telah memberi penjelasan berhubung kenapa nama MO1 tidak disebut dengan secara berterus-terang.

“Ini bukan kerana dia (Najib) tidak terlibat. Dia disebut maknanya dia terlibat. Hanya namanya tak dinyatakan dengan jelas kerana harta yang dirampas tidak ada atas namanya.

“Yang mana harta atas nama-nama orang-orang yang berkenaan namanya disebut dengan jelas. Tapi yang mana yang tak dinamakan seperti MO1 dia tidak sebagai salah seorang penama, pemilik harta itu maka dia tidak disebut tetapi keterlibatannya disebut,” jelasnya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam merupakan salah seorang ahli jawatankuasa khas yang ditubuhkan Amanah bagi mengambil tindakan dalam isu 1MDB.

Beliau sebelum itu bersama Ketua Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah dan Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Wan Anwar Wan Ibrahim menyerahkan surat kepada Yang Di-Pertuan Agong memohon perkenan baginda berhubung tindakan saman Datuk Husam Musa dan Matthias Chang di Amerika Syarikat (AS) bagi menuntut semula wang yang dicuri melalui 1MDB.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata adalah jelas apa yang disebut sebagai ‘MO1’ itu merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Sementara itu, Khalid juga berkata, ahli Parlimen Amanah akan mengemukakan usul berkaitan MO1 dalam sidang parlimen yang akan bersidang Oktober ini.

“Kami akan mengemukakan usul dan mungkin ketua pembangkang Datuk Seri Wan Azizah sendiri akan mengemukakan usul meminta parlimen membincangkan tindakan saman DoJ dan MO1,” katanya.

TAGS