MP Amanah turut isytihar harta supaya telus

MP Amanah turut isytihar harta supaya telus

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa membuat pengisytiharan harta dan pendapatannya di George Town, Pulau Pinang hari ini selepas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berbuat demikian akhir bulan lalu.

Menurut Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, pengumuman tersebut membolehkannya untuk bersikap telus kepada masyarakat.

“Sebagai pihak yang menginginkan ketelusan, ini adalah langkah pertama perlu dibuat – maklumkan kepada umum apa yang kita ada supaya kita tidak dipersoalkan,” jelas anak bekas Presiden Pas itu.

Beliau pada sidang media di Perpustakaan Digital Pulau Pinang memberitahu aset keseluruhannya bernilai RM 423,000 termasuk seunit rumah dua tingkat di Parit Buntar bernilai RM 291,000, Honda Accord (RM 110,000) dan sebuah Proton Saga (RM 22,000).

Menurutnya, elaun bulanan sebagai ahli parlimen yang diterima sebanyak RM 25,700 tetapi RM1,218.03 daripada jumlah itu diguna bagi membayar pinjaman perumahan manakala RM 4,000 lagi disumbangkan kepada parti selain RM325 merupakan potongan cukai berjadual.

Oleh itu, jelasnya, pendapatan bersih beliau setiap bulan adalah RM 20,156.97.

Mujahid juga mengumumkan perbelanjaan bulanannya termasuk untuk pusat khidmat beliau di Parit Buntar sebanyak RM 5,300 dan pembiayaan program di kawasan diwakilinya berjumlah RM 5,000.

Pada masa sama, bekas Naib Presiden Pas itu juga mempunyai tanggungan hutang bulanan RM 2,446.53 untuk sebuah kereta Honda Accord dan bayaran semula pinjaman peribadi dari Bank Islam bagi tempoh dua tahun (RM 2,656.53) serta RM 1,500 untuk kad kredit.

Jumlah simpanan keseluruhan bekas pensyarah universiti itu untuk ketiga-tiga akaun bank tersebut mencecah RM 6,854 selain pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Rafizi atas inisiatif mengisytiharkan harta sebelum ini.

Turut diisyihar, syarikat penerbitannya yang tidak lagi beroperasi pada masa ini serta memaklumkan isterinya bekerja sebagai guru dengan anak seramai tiga orang masing-masing berumur 20, 23 dan 25 tahun.

TAGS