MP gesa SPRM terima arahan Raime, jangan memilih dalam siasatan

MP gesa SPRM terima arahan Raime, jangan memilih dalam siasatan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Segambut. Lim Lip Seng mahu SPRM menyahut gesaan Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi supaya menyiasat Datuk Seri Shafie Afdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2010, serta pegawai-pegawai senior kementerian tersebut berikutan kes rasuah melibatkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

Tetapi katanya tindakan seperti itu jangan terhad kepada kes Shafie sahaja.

“Sekiranya SPRM mahu mengikut ‘arahan’ Raime supaya menyiasat Shafie Apdal, SPRM juga wajar menyiasat ibu dan bapa (tiri) Riza Aziz, tidak lain Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor tentang bagaimana anak mereka yang mempunyai pengalaman kerja sebagai pegawai junior bank selama kurang empat tahun dapat mengumpul kekayaan berjumlah US$238 juta dalam syarikat Red Granite Capital, malah memiliki hartanah mewah di Amerika Syarikat berjumlah lebih US$50 juta?,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau melahirkan rasa hairan dari mana munculnya Raime ini? Adakah beliau berada di planet lain sebelum kelmarin? Kenapa beliau tidak muncul mendesak tindakan SPRM supaya menyiasat Datuk Seri Ahmaad Shabery Cheek dan Khairy Jamaluddin, yang merupakan mantan dan menteri bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), ekoran rasuah dan penggelapan dana berjumlah RM138.5 juta melibatkan bekas pegawai KBS yang didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 2012 dan 2015?

“Berasaskan kebijaksanaan Raime ini, mustahil bagi pegawai KBS tersebut untuk mengumpulkan kekayaan yang begitu besar tanpa pengetahuan kedua-dua bosnya itu.” katanya.

SPRM juga katanya, wajar menyiasat Menteri Wilayah Perseketuan, Tengku Adnan Mansor dan juga datuk-datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dahulu dan sekarang kerana ‘membenarkan’ seorang pegawai senior DBKL berpangkat Datuk Seri untuk mengumpul kekayaan berupa 31 unit kondominium dan kini berhadapan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM10 juta.

“”Kekayaan Ku Nan adalah jauh lebih perlu dipersoalkan memandangkan beliau mendakwa bahawa asetnya yang begitu banyak akan menarik minat penculik sekiranya diisytiharkan kepada umum,” katanya.

Beliau mahu Raime dan rakan-rakannya di dalam Umno mesti membuat lebih kenyataan lanjut bagi menerangkan persoalan-persoalan yang berlegar di kalangan orang ramai dan menjelaskan kekaburan dan syak wasangka terhadap konspirasi oleh pihak-pihak tertentu untuk menghabiskan kerjaya politik Shafie Apdal dan seluruh pengikutnya yang telah meninggalkan Umno.

Datuk Raime Unggi, ahli parlimen Umno bagi kawasan Tenom, Sabah telah mengeluarkan kenyataan semalam menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2010, serta pegawai-pegawai senior kementerian tersebut berikutan kes rasuah melibatkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

TAGS