MPT akan tubuh sayap Srikandi dalam masa terdekat, kata Setiausaha PPBM

MPT akan tubuh sayap Srikandi dalam masa terdekat, kata Setiausaha PPBM

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Dr Shahruddin Md Salleh

Jawatan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu dalam waktu terdekat apabila tertubuhnya saya itu, kata Setiausahanya Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, parti itu sejak didaftarkan belum lagi menubuhkan sayap Srikandi.

“Dalam Perkara 21 Perlembagaan PPBM, penubuhan sayap-sayap parti di semua peringkat adalah di bawah bidang kuasa MPT.

“Justeru, kedudukan Puan Anina Saadudin yang dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai ‘Ketua Srikandi PPBM’ tidak seharusnya timbul.

“Beliau kekal sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras kegiatan Srikandi sehingga sayap parti ditubuhkan secara rasmi.

“MPT akan menubuhkan Sayap Srikandi dalam masa terdekat setelah segala proses dan prosedur dalaman parti dipatuhi,” ujarnya.

Srikandi adalah sayap parti yang penting dan oleh yang demikian ujar Shahruddin, pemilihan Ketua Srikandi hendaklah dibuat secara teliti setelah pandangan semua pihak diperolehi.

“Adalah diharapkan ahli-ahli PPBM terutamanya Srikandi dapat bertenang, merapatkan barisan dan meneruskan usaha untuk mengukuhkan parti demi perjuangan menyelamatkan Malaysia,” ujar Adun Jorak ini.

Sejak Sabtu lalu tersebar berita Anina yang dirujuk sebagai Ketua Srikandi parti itu, bukannya dilantik secara rasmi mengetuai sayap parti  walaupun namanya diumumkan sebagai ketua wanita bagi sayap itu dalam pengumuman barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi pada November lalu.

Anina dimaklumkan tidak lagi mengetuai sayap itu sebagaimana dakwaannya, telah dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Dr Shahruddin sendiri.

Desas-desus pelucutan jawatan itu awalnya dikatakan berhubungkait tersebarnya dakwaan Anina terbabit dalam skandal seks seperti mana di dedahkan pembantu peribadinya beberapa minggu sebelum Anina dimaklumkan dilucutkan jawatan sebagai penaja Ketua Srikandi.

Ketua Penerangan Datuk Kamarudin Md Nor juga dalam satu kenyataan semalam, menyebut tidak ada sebab Anina dilucutkan jawatan kerana jawatan ketua Srikandi tidak pernah dilantik secara rasmi oleh Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu. Malah memaklumkan jawatan Ketua Srikandi itu akan diumumkan dalam waktu terdekat ini.

TAGS