MRT: Najib bangga tapi rakyat tidak puas hati mutu pengangkutan awam

MRT: Najib bangga tapi rakyat tidak puas hati mutu pengangkutan awam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang semalam kelihatan berpuas hati menaiki transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) ketika lagi seminggu Fasa Pertama Laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) dari Sungai Buloh ke Semantan dibuka kepada umum.

Namun, projek besar kerajaan itu menerima reaksi sebaliknya daripada orang ramai ekoran ketidakcekapan pengangkutan awam di luar Lembah Kelang seperti disuarakan mereka dalam laman sosial Facebook.

Pengguna Komuter di utara tanah air mengeluh tentang kegagalan fungsi pendingin hawa manakala rakyat di Sarawak menganggap penambahbaikan mutu pengangkutan awam di negeri mereka sukar untuk menjadi kenyataan.

“Komuter di utara ni tukarlah yang baru. Kesian kami sebab aircond kerap rosak, pecah peluh,” keluh Mona Nissan manakala Marcyllus T. John dari Sibu menulis, “Orang Sabah, Sarawak telan air liur sajalah bila Malaya cakap pasal kemajuan yang dibuat hasil dari duit Sabah, Sarawak.”

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk di beberapa buah kampung di Tenom, Sabah didedahkan berhimpitan di atas pelantar keretapi tanpa bumbung dan dinding seperti dilapor portal Roketkini semalam.

Turut dimuatkan beberapa foto berkaitan sekaligus menggambarkan keadaan daif perkhidmatan kereta api di Sabah yang dilihat terlalu jauh berbeza dengan kemajuan pesat pengangkutan awam di sekitar Kuala Lumpur.

Rasa terpinggir daripada menikmati pengangkutan awam yang menepati masa juga dirasai masyarakat luar bandar memandangkan banyak masa terbuang untuk menanti bas awam tiba.

“Kami orang kampung tak merasa sedih selalu undi BN tapi yang dapat semua keselesaan semua orang Lembah Kelang. Jadi, ia bukan untuk Malaysia keseluruhannya tapi untuk KL je. Kami kalau nak naik bas pun tunggu 1 jam. Renungkanlah,” kata Haikall Iskandar.

Tidak perlu pergi jauh ke pedalaman, pengguna pengangkutan awam, Azuan Ab Rahman dari Rawang, Selangor turut mengongsikan luahan hatinya dengan menganggap seolah-olah masa bagi rakyat kebanyakan tidak berharga.

“Siapa yang guna pengangkutan awam tahulah macam mana teruknya. Najib laki rosmah baru-baru ni kata zaman dia pengangkutan awam lagi maju daripada zaman Mahathir. Kata-kata Najib anak bangsawan yang tak pernah guna pengangkutan awam.

“Jangan salahkan dia. Dia tak paham. Lahir je hidup dah ditanggung subsidi. Hari ini (Semalam), nak pergi kedai jaraknya cumalah kira-kira 15 km, masa perjalanan kira-kira 30 minit tapi tunggu bas lebih sejam. Bayangkan kalau orang tua yang tunggu begitu lama,” dipetik daripada catatannya di Facebook.

Petang semalam, Najib bersama lebih 10 rakan dalam talian termasuk pengendali beberapa laman web popular menaiki MRT dari Stesen Mutiara Damansara ke Stesen Pusat Bandar Damansara diiringi ramai pengawal keselamatan beruniform.

“Sepanjang perjalanan, kami sempat bersembang santai mengenai hala tuju pengangkutan awam negara, terutamanya kesan dan impak besar yang akan dibawa oleh MRT kepada negara, dan lebih penting lagi kepada gaya hidup rakyat semuanya. #JomNaikMRT,” dipetik daripada Facebook rasmi Presiden Umno itu.

Tambang tunai paling rendah untuk perjalanan satu hentian Laluan SBK sebelum ini dilaporkan bermula pada kadar RM1.10 iaitu antara stesen Pasar Seni dan Merdeka manakala tambang tunai maksimum pula adalah RM6.40 meliputi perjalanan penuh antara Sungai Buloh ke Kajang.

Sementara itu, projek laluan kedua MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) sepanjang 52.2 kilometer dan meliputi 37 buah stesen pula dijangka siap sepenuhnya pada 2022.

TAGS