Msia gesa Israel terima rumusan ICJ mengenai pembinaan tembok

Msia gesa Israel terima rumusan ICJ mengenai pembinaan tembok

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Malaysia menuntut Israel supaya menunaikan kewajipan undang-undang antarabangsa dan membayar pampasan atas semua kerosakan akibat pembinaan tembok di wilayah pendudukan Palestin termasuk di Baitulmaqdis Timur.

Ketika berucap di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Almi Hamsa mengimbau keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang merumuskan bahawa pembinaan tembok pemisah itu adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

ICJ dalam keputusannya pada 9 Julai 2004 menggesa Israel merobohkan tembok pemisah yang mula ia bina empat tahun sebelumnya. Ia juga mahu rejim Zionis itu menghentikan pembinaan serta membetulkan kerosakan yang berlaku akibat pembinaan tembok itu.

“Delegasi kami telah membentangkan hujah-hujah kami di hadapan ICJ semasa perbicaraan kes tersebut.

“Bagaimanapun, 12 tahun sejak keputusan itu, kami amat menyesal dengan keengganan berterusan Israel untuk menerima rumusan mahkamah tersebut,” katanya dalam ucapannya pada sesi ke-71 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Mengenai Agenda Perkara 70 Laporan ICJ.

Teks ucapan oleh ketua perkhidmatan awam Malaysia itu diedarkan kepada media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ali berkata Malaysia berharap untuk sokongan yang lebih besar daripada UNGA pada masa terdekat untuk draf resolusi tajaan Malaysia mengenai pendapat nasihat berkenaan kesahan menggunakan (atau ancaman untuk menggunakan) senjata nuklear.

“Kami telah diberi penghormatan untuk membentangkan ia setiap tahun melalui Jawatankuasa Pertama sejak ICJ memutuskan pendapat undang-undang yang bersejarah ini pada 1996,” katanya.

Beliau memaklumkan kepada UNGA bahawa dasar luar Malaysia adalah berasaskan kepada prinsip penyelesaian pertikaian secara aman dan konsep kesederhanaan yang menyokong pengantaraan, timbang tara, dialog dan rundingan.

“ICJ menyediakan platform untuk negara-negara anggota menyelesaikan perbezaan masing-masing secara aman sekiranya gagal menerusi dialog atau rundingan,” katanya.

TAGS