Muafakat Mesir rayu kerajaan bantu pembiayaan pengajian pelajar

Muafakat Mesir rayu kerajaan bantu pembiayaan pengajian pelajar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Pertubuhan Kebangsaan Ibu Bapa dan Mahasiswa Perubatan Mesir Malaysia (Muafakat Mesir) merayu kepada kerajaan supaya membantu pelajar yang menghadapi masalah pembiayaan pengajian di Mesir.

Presidennya, Safian Taiyib Hamidin berkata ketiadaan penajaan atau pinjaman sama ada daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyebabkan pelajar menghadapi pelbagai masalah untuk meneruskan pengajian.

Ini kerana keluarga mereka tidak mampu membiayai sepenuhnya kos disebabkan kebanyakannya adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana, katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Safian berkata kos bagi setahun pengajian boleh mencecah sehingga RM35,000 dan sekiranya tidak mampu, pelajar terbabit kemungkinan terkandas atau terpaksa berhenti pengajian.

“Kebanyakan daripada mereka adalah pelajar perubatan, farmasi dan kimia yang boleh dikatakan sebagai modal insan yang penting kepada negara.

“Sekiranya tiada kemudahan pinjaman atau penajaan maka ibu bapa berhadapan jalan buntu dan terpaksa menghentikan anak-anak mereka daripada meneruskan pengajian di Mesir walaupun sudah melebihi lima tahun,” katanya.

Beliau berkata sekiranya masalah itu gagal ditangani, dikhuatiri ramai pelajar perubatan persendirian Melayu bakal menamatkan pengajian separuh jalan sahaja.

Katanya ini adalah satu kegagalan yang amat dikesali dalam konteks mengejar cita-cita dan hasrat anak Melayu serta harapan ibu bapa yang mahu melihat anak mereka berjaya sebagai seorang doktor.

“Muafakat Mesir yang mewakili ibu bapa pelajar di tujuh buah universiti yang diiktiraf kerajaan di Mesir merayu agar kerajaan segera membantu pelajar melunaskan yuran pengajian serta perbelanjaan sara hidup yang tertunggak sama ada melalui penajaan atau pinjaman. Kita bukannya merayu mendapat biasiswa tetapi pinjaman,” katanya.

Beliau berkata kos pengajian sains perubatan di Mesir sebenarnya lebih murah berbanding di dalam negara dan kebanyakan pelajar cemerlang ini sebenarnya tidak mendapat tawaran di dalam negara walaupun lulus cemerlang kemungkinan disebabkan mereka pelajar aliran sekolah agama.

Safian berkata buat masa ini, pihaknya merayu kepada kerajaan supaya segera membantu menjelaskan yuran 150 pelajar yang terkandas walaupun mereka sudah hampir menamatkan pengajian.

Katanya Muafakat Mesir percaya terdapat kira-kira 5,000 pelajar Malaysia dalam bidang sains perubatan di Mesir.

Beliau berkata Muafakat Mesir bersedia untuk turut membantu dan bekerjasama dengan kerajaan sama ada di tanah air atau di Mesir dalam pengurusan, kebajikan, keselamatan dan perkara lain berkaitan bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian.

TAGS