Mudahkan pendaftaran bukan ugut nak haramkan parti, nasihat Pemuda AMANAH kepada RoS

Pemuda AMANAH Nasional mengambil serius kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang memberi amaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agar tidak menggunakan singkatan nama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) untuk pergerakan pemudanya.

Ketuanya, Nohd Sany Hamzan mengambil maklum kenyataan Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim bahawa PPBM boleh diharamkan sekiranya parti itu terus menggunakan nama tersebut.

“Kami sangat bersimpati dengan desakan dan ujian yang terpaksa ditempuh oleh rakan sayap pemuda iaitu Armada yang sangat komited menggerakan perubahan khususnya dari kalangan anak muda. Kami mengecam tindakan RoS yang berbentuk ugutan dikenakan terhadap PPBM,” kata Sany dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, selaku agensi kerajaan yang tugasnya memberi khidmat kepada rakyat dan negara, RoS tidak sewajarnya membuat ugutan sebaliknya memainkan peranan untuk memudahkan dan menyelesaikan perkara yang berbangkit.

RoS ujar beliau, tidak perlu mengusutkan keadaan dengan membangkitkan permasalahan remeh seperti itu malah dalam isu penggunaan singkatan Armada, jabatan itu sewajarnya bertanggungjawab untuk membantu agar penggunaan nama tersebut dapat diguna pakai secara sah.

“Lebih-lebih lagi difahamkan PPBM telah membuat permohonan tersebut secara rasmi namun masih tidak ada respon daripada RoS,” ujar Sany.

Beliau bagaimanapun berharap agar RoS dapat menyelesaikan perkara ini secara tuntas dengan mengelakkan daripada mengenakan apa-apa tindakan terhadap PPBM.

“Kami yakin RoS akan bertindak rasional dalam hal ini selari dengan tanggung jawab sebenar mereka terhadap mana-mana pertubuhan selaras dengan hak asasi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut beliau, Pemuda AMANAH Nasional yakin RoS akan bersifat bebas dan adil biarpun membabitkan parti oposisi termasuklah dalam hal kelulusan Pakatan Harapan yang telah dipohon beberapa bulan lalu.

“Kami sangat berharap kelulusan permohonan tersebut juga dapat disegerakan oleh RoS untuk memudahkan kami sebagai parti politik dapat bergerak dalam ruang lingkup demokrasi yang sah dan bebas,” tegasnya.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS