Muhammad Taib jawab kritikan Sultan Selangor?

Selepas Sultan Selangor mengakui tidak menghormati Tan Sri Muhammad Muhd Taib kerana didakwa mengaut kekayaan ketika aktif berpolitik selain sering melompat parti, bekas menteri besar negeri itu tampil memberikan kenyataan tentang pencapaiannya selama 11 tahun menduduki jawatan itu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Selepas Sultan Selangor mengakui tidak menghormati Tan Sri Muhammad Muhd Taib kerana didakwa mengaut kekayaan ketika aktif berpolitik selain sering melompat parti, bekas menteri besar negeri itu tampil memberikan kenyataan tentang pencapaiannya selama 11 tahun menduduki jawatan itu.

Muhammad berkata, sepanjang pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor dari 1986 hingga 1997, negeri tersebut mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia dengan purata melebihi 10 peratus setahun.

Kesannya, ujar bekas veteran Umno itu, pertumbuhan dalam pelbagai sektor antaranya seperti pelaburan (FDI), hartanah, pelabuhan dan pengangkutan berkembang pesat.

“Guna tenaga meningkat dengan mendadak. Penghijrahan berlaku dari negeri-negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Selangor seolah-olah dibanjiri kedatangan penduduk dari merata tempat dalam Malaysia. Namun, tahap keselamatan berada di paras yang tinggi,” katanya.

Menjunjung kasih ke bawah Al Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Al Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah iaitu Sultan Selangor yang memberi pekenan di atas perlantikannya, beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri ketika itu sentiasa merujuk kepada pihak istana serta pada masa sama Al-Marhum Sultan Selangor juga banyak membantu kelicinan pentabiran kerajaan baginda.

“DYMM Al Marhum kerap menitahkan saya datang mengadap ke istana untuk berbincang dan menyampaikan sendiri arahan-arahan yang baginda rasa perlu.

“Apa juga perkara berbangkit selama 11 tahun saya mengetuai kerajaan negeri Selangor telah dapat diatasi dengan baik, penuh berhemah dan bijaksana,” jelasnya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Bercerita lanjut tentang pencapaiannya, Muhammad memberitahu Bandaraya Shah Alam dan Bangi berkembang pesat dengan sebahagian besar penduduknya terdiri daripada orang Melayu hasil perkenan Al Marhum Tuanku.

“Saya mencadangkan Shah Alam dan Bangi dijadikan bandar contoh di mana orang Melayu boleh hidup dan berkecimpung dalam segala aktiviti hidup di dunia moden.

“Saya juga sering mengadap DYTM Raja Muda Selangor pada masa itu Tuanku Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al Haj, yang kini Kebawah DYMM Sultan Sarafuddin Idris Shah ibni Al Marhum Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan,” ujarnya.

Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan, Sultan Selangor membidas beberapa perkara yang dilakukan Tan Sri Muhammad Muhd Taib semasa zaman pentadbirannya sebagai menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997.

Menurut edisi Ahad Utusan Malaysia itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, bekas menteri besar itu banyak menukar adat negeri, misalnya memberi darjah kebesaran dengan hanya kelulusan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco), tanpa melalui Dewan Diraja.

Menurut Sultan Selangor, penganugerahan darjah kebesaran semasa zaman pentadbiran Muhammad juga terlalu mudah dan dilakukan dengan sesuka hati.

“Sebab itu kadang-kadang istana kata darjah kebesaran semasa zaman Muhammad seperti buffet sahaja, letak atas meja terus ambil,” katanya dalam wawancara bersama akhbar milik Umno itu.

TAGS