Muhyiddin kekal dalam Umno, rujuk kes gantung jawatan ke Pendaftar Pertubuhan

Muhyiddin kekal dalam Umno, rujuk kes gantung jawatan ke Pendaftar Pertubuhan

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kekal bersama Umno dan akan merujuk penggantungan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana merasakan tindakan itu dibuat tanpa mengikut prosedur dan perlembagaan parti.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal bersama Umno dan akan merujuk penggantungan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat kerana merasakan tindakan itu dibuat tanpa mengikut prosedur dan perlembagaan parti.

Muhyiddin dalam satu sidang media pagi tadi berkata tidak akan keluar daripada Umno kerana parti itu tidak patut dipersalahkan dan pihak yang bersalah adalah orang yang merosakkan Umno.

“Saya dipilih di kalangan 20,000 ahli di Bahagian Pagoh. Berkali-kali menang tanpa bertanding. Tidak mungkin saya tinggalkan Umno kerana ramai meletakkan harapan pada saya. Umno tidak bersalah. Yang bersalah ialah orang yang merosakkan Umno,” ujarnya dalam sidang media, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tergempar itu bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal.

Muhyiddin ditemani isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Beliau juga akan merujuk kepada RoS berhubung penggantungan jawatan yang disandangnya ekoran tidak pernah dipanggil jawatankuasa disiplin parti itu atau menerima surat tunjuk sebab.

“Saya telah menyatakan penggantungan itu tidak mengikut prosedur sebagai contoh saya tidak diberikan apa-apa surat tunjuk sebab untuk jelaskan apa yang berkaitan disiplin.

“Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin. Saya tidak diberikan peluang yang adil untuk membela diri mengikut prosedur dan proses tatacara disiplin yang ditetapkan parti.

“Majlis Tertinggi Umno buat keputusan secara gopoh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin menafikan beliau tidak mempertahankan dirinya daripada digantung jawatan pada Jumaat lalu.

Beliau menjelaskan tidak dapat menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno disebabkan mempunyai urusan lain di luar negara.

“Saya tak dapat hadir kerana ada hal lain di luar negara. Tiada agenda khas diaturkan dalam mesyuarat tersebut. Bagi saya ia tidak mengikut tatacara yang berperlembagaan,” katanya.

TAGS