Muhyiddin mahu Pakatan Harapan, Pas bersatu untuk menang PRU

Muhyiddin mahu Pakatan Harapan, Pas bersatu untuk menang PRU

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan supaya satu bentuk kerjasama dapat dijalinkan secara rasmi dalam Pakatan Harapan khususnya dengan Pas bagi mewujudkan gelombang perubahan besar ke arah pembentukan kerajaan baharu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya bersedia untuk bersama-sama dalam apa keadaan sekali pun dan optimis segala perbezaan yang ada di antara parti serta perkara berbangkit dapat diselesaikan melalui rundingan secara terperinci.

“Gandingan kerjasama secara rasmi ini saya kira dapat membantu kita capai kejayaan pada PRU akan datang dan apabila adanya kerjasama dengan Bersatu dan lain-lain parti, ia sebenarnya satu bentuk pengiktirafan tentang peranan boleh dimainkan secara bersama-sama.

“Saya percaya sudah sampai masanya untuk dijalinkan kerjasama dalam bentuk lebih konkrit. Mana mungkin Bersatu dan parti-parti lain boleh bersendirian (memenangi PRU)…tidak mungkin…tidak boleh, yang boleh ialah gabungan serta gandingan semua parti dalam pakatan.

“Walaupun sedikit atau banyak, apabila dikumpulkan maka jumlahnya memadai untuk cukupkan bilangan (kerusi bertanding), maka cara itulah kita boleh buat supaya kita sama-sama dapat laksanakan.

“Saya tahu cabarannya besar tetapi kita boleh ketepikan berbezaan antara kita dan melihat ke depan. Lebih penting kemuafakatan ini serta formula satu lawan satu mampu membantu memenangi PRU akan datang, gelombang besar yang mahu lihat perubahan,” katanya ketika berucap pada Harap 3.4, di Kemasek, pada  Sabtu seperti  lapor portal media Sinarharian.

Penampilan mantan timbalan perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh ke program tersebut merupakan penampilan sulungnya di pentas Pas dan Harap 3.4 berlangsung selama empat hari berakhir 1 Oktober dianjurkan Pas Terengganu.

Tambah Muhyiddin, peringkat pertama pertemuan antara Bersatu dengan Pas juga adalah terbukti menunjukkan minat untuk sama-sama bergabung dalam satu pakatan bagi menentukan supaya banyak kawasan ditandingi dapat ditentang atas dasar satu lawan satu (dengan BN).

“Waktu mana saya berunding juga dengan pihak PKR dan parti lain kerana kami adalah parti kecil untuk menjelaskan kewujudan parti kami, mereka juga menyokong tentang langkah ini dan menyatakan bahawa Bersatu boleh mainkan peranan.

“Jadi dalam pertemuan-pertemuan seperti inilah yang mengerakkan hati saya bahawa inisiatif yang hendak diambil oleh Bersatu bersama-sama parti lain termasuk Pas adalah satu daripada formula yang amat penting untuk kita wujudkan sebagai satu bentuk muafakat pilihan raya,” ujarnya

TAGS