Muhyiddin sedia dipecat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin rela dipecat keanggotaannya dalam parti jika benar dirinya telah melakukan kesalahan yang serius.

Anggota Parlimen Pagoh itu bagaimanapun mendakwa apa yang dilakukannya tidak pernah melanggar peraturan dan disiplin parti.

“Kalaulah benar saya dikatakan telah membuat kesalahan besar, apa pun saya reda dipecat, tidak apa.

“Apa yang saya lakukan adalah bersuara demi untuk menyatakan apa yang saya rasakan benar. Apa pun diharapkan janganlah buat begitu kepada ahli yang telah berpuluh tahun berkorban untuk parti,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan sokongan terhadapnya yang diadakan di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh malam tadi lapor Bernama.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh, menerima memorandum sokongan daripada 106 cawangan di bahagian itu yang diserahkan wakil mereka, Datuk Samat Aripin.

Muhyiddin berkata walau apa pun yang berlaku, beliau tetap merupakan anggota UMNO yang setia kepada parti.

“Biarlah dicincang dan dipancung, saya tetap (setia pada) UMNO,” katanya.

TAGS