Muhyiddin selar polis tahan pimpinan politik, Bersih

Muhyiddin selar polis tahan pimpinan politik, Bersih

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menahan beberapa orang aktivis Bersih, pemimpin politik pembangkang dan mahasiswa berhubung penglibatan mereka dalam penganjuran Himpunan Bersih 5.

Presidenya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan polis itu adalah satu bentuk ancaman dan gangguan terhadap penganjur dan orang ramai yang berhasrat untuk menghadiri perhimpunan tersebut esok.

“Menurut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, setiap rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
“Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengingatkan pihak berkuasa supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Saya juga ingin mengingatkan Najib Razak bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan beliau sendiri sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Politik.
“Akta ini bertujuan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dan bersuara selaras dengan prinsip demokrasi. Saya menggesa Najib Razak supaya tidak sekali-kali melupakan janji-janjinya itu,” ujarnya.

Justeru katanya Parti PPBM menyokong penuh Himpunan Bersih 5 yang akan diadakan hari ini.

” Ia adalah satu perhimpunan yang mengikut lunas undang-undang dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Saya bersama-sama pimpinan tertinggi PPBM akan menyertai perhimpunan ini dan berharap ramai yang akan hadir untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan menentang rasuah dan penyelewengan serta mewujudkan pilihanraya yang bebas, adil dan bersih di Malaysia,” ujarnya.

Semalam Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail, dalam satu kenyataan semalam menegaskan bahawa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tindakan mana-mana pihak yang menghalang rakyat daripada menghadiri sebarang perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah, pihak polis adalah bertanggungjawab untuk memastikan perhimpunan tersebut berlangsung secara aman dan tanpa gangguan.

TAGS