Muhyiddin terus cuba pujuk Pas

Muhyiddin terus cuba pujuk Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Walaupun mengakui Pas bermasalah dengan Amanah dan DAP, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat terus cuba memujuk Pas untuk bersama-sama dengan gabungan parti pembangkang bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Marilah kita duduk sama-sama untuk berunding. Matlamatnya hanya satu untuk mengalahkan BN. Saya rasa sukacita malam ini mendengar kenyataan yang tegas bahawa Pas tidak bekerjasama dengan Umno. Pas menentang Umno.

“Itu juga matlamat PPBM. Kita tidak akan tunduk pada Umno. Kita mahu mengalahkan Umno-BN supaya negara kita terjamin berada dalam keadaan yang lebih selamat,” ujarnya pada kemuncak program ceramah anjuran Pas Selangor di Sungai Buloh malam tadi.

Menurut bekas Timbalan Presiden Umno itu, Pas tidak akan mampu untuk menjatuhkan BN yang sekian lama berakar umbi jika masih mahu bersendirian dan gagal menyelesaikan perselisihan dengan Amanah dan DAP.

“Berapa lamakah Pas nak duduk sebagai pembangkang? Mesti nak duduk jadi kerajaan. Saya pun tidak mahu lama sebagai pembangkang. Saya mahukan kuasa supaya saya boleh buat apa yang Najib tidak boleh buat. Saya nak laksanakan dasar-dasar yang baik untuk rakyat tetapi beri kuasa kepada kita. Bagi lima tahun saja dulu kalau tidak betul, buanglah.

“Kalau kita hanya mahu buat (jatuhkan BN) atas nama PPBM saya tidak yakin kita berjaya. Kalau Pas bersendirian menumbangkan BN, sejarah membuktikan tidak mungkin boleh berjaya. Ini sejarah tetapi kalau ada gandingan, kerjasama, muafakat atas tujuan muslihat yang satu dengan gabungan parti-parti lain lebih mudah untuk mencapai matlamat membentuk kerajaan,” ujarnya.

Mengulas penekanan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum itu dalam ucapannya berkali-kali menempelak Amanah dan DAP, demikian juga Muhyiddin yang berulang-ulang memujuk Pas supaya berunding mencari satu titik pertemuan.

“Ada isu-isu yang disebutkan Tuan Ibrahim. Saya cukup faham. Duduklah, rundinglah. Nak sebut apa? Jemaah, kumpulan, tahaluf siyasi, atau apa saja. Saya tak belajar bahasa Arab sangat tapi maksudnya begitulah dengan tujuan untuk mencapai titik pertemuan.

“Saya tidak fikir permasalahan sesama kita (parti pembangkang) ini tidak boleh dirungkaikan. Perkataan tidak mungkin boleh dirungkaikan itu disebut oleh Tuan Guru Haji Hadi dalam pertemuan dengan saya,” dedahnya pula.

Beliau menyifatkan kesediaan Pas untuk berunding dan bermuafakat dalam blok parti pembangkang penting bagi matlamat memenangi PRU14.

“Kalau kita tidak cari jalan penyelesaian dan kita biarkan keadaan berterusan sampai masa pilihan raya mungkin esok lusa, hal ini tidak boleh diselesaikan maka kita tidak mungkin boleh menang.

“Akan ada cara penyelesaian. Kita ini manusia. Ada pandangan, fahaman berbeza tetapi dalam politik ini kalau niat kita membentuk pakatan yang berkesan dengan terbaik untuk mengelak isu-isu yang timbul mulai sekarang,” tegasnya yang turut memberitahu sudah biasa bertentangan dengan Pas dalam banyak pilihan raya.

Bahkan, Muhyiddin menawarkan partinya sebagai orang tengah bagi rundingan antara Pas dengan kedua-dua parti dalam blok Pakatan Harapan itu.

“Walaupun Pas memiliki pandangan berbeza tentang DAP dan Amanah yang disebutkan sebentar tadi berkali-kali tetapi hal ini boleh diselesaikan. Saya tahu Pas dengan Amanah menjadi isu besar dan DAP bertentangan dari segi ideologi, hukum dan sebagainya bermasalah.

“Sebab itu saya sarankan usaha (rundingan) mesti berterusan. Masalah tidak boleh siapu bawah karpet kena hadapi secara berhadapan.

“Mungkin kita boleh berperanan sebagai jambatan penghubung. Kalau tidak mahu, tak mengapalah.
mesti ada satu cara untuk kita bentuk muafakat yang dinamakan apa sekalipun dan kita mesti bersemuka untuk menyelesaikan masalah kita,” tambahnya lagi.

TAGS