Mukhriz didakwa gagal tadbir negeri, gagal jana ekonomi

Mukhriz didakwa gagal tadbir negeri, gagal jana ekonomi

Kegagalan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mengurus tadbir negeri dengan baik dan menjana ekonomi negeri menjadi antara penyebab beliau didesak berundur daripada parti dan kerajaan.

Kegagalan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mengurus tadbir negeri dan menjana ekonomi negeri menjadi antara penyebab beliau didesak berundur daripada parti dan kerajaan.

Malah 15 wakil Umno Bahagian negeri itu termasuk Jerlun yang dipimpin Mukhriz mendesak Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mencari calon pengganti Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Ketua Perhubungan Umno negeri.

Sidang media pemimpin Umno Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah itu berlangsung pada jam 3.25 petang di sebuah hotel, dekat Alor Setar.

Antara pemimpin utama Umno negeri yang hadir ialah Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Johari Baharom, Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim, Ketua Umno Bahagian Jerai yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Rozai Shafian.

Turut hadir Ketua Pemuda Umno negeri, Datuk Shaiful Azizy Zainal Abidin, Ketua Wanita Umno negeri, Datuk Maznah Abd Hamid dan Ketua Pergerakan Puteri Umno negeri, Datin Norashimah Md Nowar.

Ahmad Bashah ketika berucap menyatakan hilang kepercayaan 15 bahagian Umno Kedah dan wakil rakyat Umno negeri terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai ketua kerajaan negeri dan ketua parti.

Mukhriz, dakwa beliau gagal menyatupadukan Umno dan jentera parti di semua peringkat manakala tiada sebarang perancangan strategik dilakukan Umno negeri untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

“Sebagai Menteri Besar, beliau juga gagal untuk mengurus tadbir kerajaan negeri. Sebab itu kami berhimpun untuk merayu dan membuat permohonan kepada Perdana Menteri untuk menukar Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Perhubungan (Umno) Negeri Kedah,” jelas Ahmad Bashah.

Beliau bagi pihak pemimpin Umno negeri juga berharap Perdana Menteri segera mengambil tindakan demi menjaga parti dan rakyat Kedah.

“Kita juga akan menyokong sebarang keputusan yang akan diambil YAB Perdana Menteri,” ujarnya.

Sidang akhbar itu dihadiri semua Ketua Umno Bahagian kecuali Jerlun yang diwakili Timbalan Ketua Bahagian manakala Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berada di London diwakili Timbalannya, Datuk Seri Ghazali Ibrahim.

Tiada sesi soal jawab diadakan selepas kenyataan media dibacakan Ahmad Bashah.

TAGS