Mulakan perubahan dari selatan Semenanjung, seru Amanah Johor

Mulakan perubahan dari selatan Semenanjung, seru Amanah Johor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Isu penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno turut menarik perhatian Amanah Negeri Johor.

Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Johor, Aminolhuda Hassan mengajak rakyat Johor tanpa mengira fahaman politik dan kaum melakukan perubahan politik.

“Dengan semangat #BangsaJohor yang tertanam hebat dalam diri setiap rakyat Johor, dengan ini (saya) mengajak seluruh rakyat Johor tidak kira dari parti mana dan kaum apa untuk kita sama-sama buktikan bahawa Bangsa Johor bakal mengetuai gelombang perubahan rakyat!” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aminolhuda, sejarah negara menyaksikan tiga Timbalan Perdana Menteri dipecat dan digugurkan daripada jawatan iaitu Tun Musa Hitam yang berasal dari Segamat, Johor; Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh, Pulau Pinang) dan Muhyiddin (Pagoh, Johor).

“Dua sosok anak Johor (Musa Hitam dan Muhyiddin Yassin) ini menggambarkan betapa Bangsa Johor dilihat gah dalam kepimpinan negara. Kedua-duanya merupakan pemimpin yang berprinsip.

“Sungguhpun demikian, sejarah juga mencatatkan bagaimana dalam sebuah parti yang penuh dengan korupsi dan salah guna kuasa, hanya kerana dikatakan menegur presiden parti, mereka terus dikenakan tindakan.

“Adakah parti tersebut iaitu Umno langsung tidak mengiktiraf jasa dan pengorbanan tokoh ini khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibuang sebegitu rupa?” soal beliau.

Sehubungan itu, Aminolhuda mengajak Muhyiddin serta seluruh pemimpin Umno  Johor untuk meninggalkan parti itu dan bersama rakyat melakukan perubahan politik.

“Saya percaya setiap daripada pemimpin Umno Johor mahu yang terbaik untuk seluruh Bangsa Johor,” tegasnya.

Beliau turut menyeru Muhyiddin, para pemimpin Umno negeri dan seluruh rakyat Johor memulakan gelombang perubahan dari selatan tanah air.

“Dari tanah keramat Negeri Johor, dalam (usaha) membebaskan negara kita daripada segala permasalahan dan skandal dengan bersama Amanah sekaligus bergabung padu dengan Pakatan Harapan,” katanya.

TAGS