Myanmar dakwa wartawan di mahkamah kerana lapor isu Rohingya

Myanmar dakwa wartawan di mahkamah kerana lapor isu Rohingya

Mahkamah Myanmar telah mendakwa dua orang wartawan Reuters yang membuat liputan mengenai krisis etnik Muslim Rohingya di utara wilayah Rakhine atas tuduhan mencabul undang-undang kerahsiaan negara.

Wartawan Myanmar Wa Lone dan Kyaw Soe Oo didakwa secara rasmi oleh pendakwa raya di Yangon pada Rabu lalu kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi era kolonial, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun, kata peguam mereka mengikut laporan Al Jazeera.

Kedua-dua wartawan berkenaan ditahan pada 12 Disember lalu selepas dijemput untuk makan malam bersama pegawai-pegawai polis di pinggir bandar terbesar di Myanmar iaitu Yangon, menurut laporan Reuters.

Agensi berita itu berkata, tidak banyak maklumat diketahui mengenai dakwaan terhadap kedua-dua wartawan tersebut kecuali mereka ditahan atas tuduhan memiliki dokumen rasmi berkaitan wilayah Rakhine.

Operasi kejam tentera Myanmar ke atas penduduk Rakhine telah memaksa hampir 650,000 orang etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

“Kami tidak buat silap, mereka cuba menyekat kami dan menakutkan kami,” kata Wa Lone, 31 ketika diheret oleh lapan orang anggota polis keluar mahklamah sambil tangannya dipegang oleh isterinya yang menangis.

“Kami akan hadapi tuduhan yang dikenakan ke atas kami,” tambahnya.

Ahli keluarga kedua-dua wartawan yang membuat liputan mengenai operasi kejam tentera Myanmar di wilayah Rakhine itu berkata, kedua-dua mereka telah umpan dan diperangkap.

Penangkapan dua wartawan ini mendapat kecaman meluas daripada kumpulan hakl asasi manusia dan juga kumpulan pemerhati media.

“Prosiding ke atas Wa Lone dan Kyaw Soe Oo jelas menunjukkan bahawa ia satu usaha untuk menakut-nakutkan media dan menghalang liputan ke atas tragedi masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar dibuat,” kata Steven Butler mewakili kumpulan Jawatankuasa Perlindungan Media (CPJ).

Membuat laporan mengenai krisis Rohingya ternyata cukup sukar bagi wartawan asing. Mereka tidak dibenarkan memasuki daerah yang dilanda krisis iaitu di kawasan utara Rakhine dan jarang sekali diberi kebenaran untuk menemu bual pegawai tinggi kerajaan.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES