Myanmar setuju adakan permukiman menteri luar ASEAN di Yangon

Myanmar setuju adakan permukiman menteri luar ASEAN di Yangon

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Myanmar, atas perintah kaunselor negaranya, Daw Aung San Suu Kyi, bersetuju menganjurkan Permukiman Menteri Luar ASEAN di Yangon pada 19 Disember ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata sesi permukiman itu akan memberi peluang kepada para Menteri Luar ASEAN untuk bertukar-tukar pandangan dan berbincang untuk mencari penyelesaian secara adil, pantas serta berkekalan bagi masalah yang sedang melanda kawasan tertentu di utara negeri Rakhine.

Katanya, Suu Kyi berjanji akan memberi taklimat kepada para menteri berkenaan tentang perkembangan terkini di wilayah tersebut pada permukiman itu.

“Perkara inilah yang didesak Kerajaan Malaysia dalam minggu-minggu kebelakangan ini – pengakuan bahawa wujudnya masalah itu dan perbincangan untuk mencari penyelesaiannya.

“Walaupun ini hanya langkah pertama ke arah menyelesaikan masalah itu, ia tetap merupakan suatu langkah positif dan menuju ke arah yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Anifah berkata, pada 27 November, beliau mencadangkan agar satu mesyuarat Menteri Luar ASEAN diadakan dengan segera bagi membincangkan keadaan di wilayah utara negeri Rakhine.

Katanya kedudukan membimbangkan dan keadaan kemanusiaan yang begitu dahsyat di negeri Rakhine serta kesan meluas krisis itu terhadap negara ASEAN yang berjiran dengannya, menuntut perkara berkenaan dibincangkan dalam ASEAN.

Menurut beliau, Myanmar pada mulanya menolak cadangan Malaysia itu, tetapi setelah menerima tekanan berterusan daripada masyarakat antarabangsa, negara itu bersetuju utuk mengadakan permukiman berkenaan.

“Mesyuarat pada 19 Dis ini akan memberi peluang kepada saya untuk menyuarakan dengan lantang pendirian tegas Malaysia berhubung isu itu.

“Saya berharap akan dapat merebut peluang ini untuk mengetengahkan hakikat bahawa Malaysia secara terus-menerus mengutuk peningkatan keganasan yang berlaku di wilayah utara negeri Rakhine sejak ia mula tercetus pada 9 Okt 2016,” katanya.

Anifah berkata pembunuhan manusia yang tidak bersalah dan pengusiran penduduk dari kampung halaman mereka adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dan Malaysia akan menyeru semua pihak terlibat supaya mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Sebagai anggota pengasas ASEAN, kata beliau, Malaysia berpegang sepenuhnya kepada prinsip penubuhan ASEAN, khususnya prinsip tidak campur tangan, yang merapatkan hubungan antara sesama negara anggota pertubuhan itu selama ini.

“Bagaimanapun, kami juga percaya bahawa negara anggota ASEAN terikat dengan prinsip antarabangsa mengenai penggalakkan dan perlindungan hak asasi manusia, yang turut termaktub dalam Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN.

“Semangat Komuniti ASEAN, yang memperjuangkan matlamat ASEAN untuk menikmati keamanan, keselamatan dan kestabilan berkekalan, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran berkekalan yang dikongsi bersama, patut membimbing kita dalam perkara ini,” kata beliau.

Anifah berkata Malaysia sentiasa bersedia membantu Myanmar dalam mencari penyelesaian secara adil, pantas dan berkekalan terhadap isu yang berlarutan di negeri Rakhine.

TAGS