Naib Presiden Pas persoal apa masalah partinya berkecuali

Pertahan kenapa Pas bekecuali.

Tindakan 11 ahli parlimen Pas berkecuali dalam pengundian Bajet 2018 pada bacaan kali kedua di Dewan Rakyat dianggap tidak bermasalah bagi pemimpin parti hijau itu.

Sebaliknya, Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad menganggap “musuh Pas” akan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap keputusan mereka itu.

“Cuma Pas berkecuali ketika mengundi. Apa masalahnya?. Musuh Pas akan tuduh macam-macam. Modal yang paling popular Pas hendak ber’UG’ (kerajaan perpaduan) dengan Umno.

“Pas hendak bagi nafas kepada Datuk Seri Najib. Pas sudah lali dengan tuduhan itu,” ujarnya sebagai reaksi terhadap kritikan banyak pihak terhadap sikap Pas yang mengulang pengundian belanjawan sebelum ini.

Menurut Idris, situasi menjadi aneh jika Ahli Parlimen Pas memohon projek awam dilaksanakan jika sebelum itu menolak bajet yang dibentangkan Perdana Menteri.

“Jikalau Ahli Parlimen Pas tolak bajet, tiba-tiba sewaktu bahas kita minta kerajaan berikan projek sekolah, hospital, jalan raya dan lain-lain lagi.

“Bukankah ini satu kepelikan, tolak tetapi minta projek?” soalnya sekali gus mengundang pandangan pelik rata-rata rakyat terhadap sikap pemimpin Pas.

Petang semalam, Bajet 2018 diluluskan dengan undian 107 Ahli Parlimen BN menyokong manakala 59 Ahli Parlimen Pakatan Harapan menolak termasuk Ahli Parlimen Pokok Sena.

Hanya 11 Ahli Parlimen Pas daripada 222 anggota Parlimen berkecuali dengan enggan mengundi Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 yang dibahaskan sejak 30 Oktober lalu.

Selain Bukit Gantang, mereka adalah Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Kubang Kerian, Pasir Puteh, Pengkalan Chepa, Rantau Panjang, Temerloh, Kuala Nerus dan Hulu Langat.

Dua lagi Ahli Parlimen Pas iaitu Marang dan Dungun difahamkan tiada dalam Parlimen.

Menurut Idris, peraturan membenarkan Ahli Parlimen sama ada untuk menyokong, menolak atau tidak mengundi iaitu berkecuali.

“Keputusan Pas berkecuali bermakna ada yang Pas sokong dan ada yang Pas bangkang. Pas sokong perbelanjaan yang bermanfaat kepada rakyat seperti mendirikan sekolah, hospital, BR1M, biasiswa, bantuan kepada petani, nelayan.

“Pas membantah 1MDB yang tidak selesai hingga kini, masalah Felda, GST yang menyusahkan rakyat miskin, tol, ketirisan, projek tidak sampai kepada sasaran, diskriminasi, kroni.

“Semua Ahli Parlimen Pas membantah dan memberi cadangan sewaktu membahas bajet,” jelasnya walaupun diketahui umum pemimpin parti tersebut tidaklah di tahap menggegarkan Parlimen ketika membahaskan isu yang disenaraikan itu.

TERSILAP

Menegaskan Pas mempunyai sikap yang tersendiri, Idris berkata, Pas menyokong Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 kerana manfaat kepada ummah walaupun dakwanya, Pakatan Harapan menolak.

“RUU 364, Pas lawan walaupun dibawa oleh kerajaan. Pakatan Harapan menyokong, malahan mencadangkan supaya kerajaan membawa ke dalam Parlimen bagi membolehkan pindaan Perlembagaan dibuat untuk mendapat 2/3.

“PH (Pakatan Harapan) bersedia untuk bersama kerajaan BN dalam isu RUU 364. Pas tidak tuduh PH ber’UG’ dengan BN,” ujarnya dipetik daripada kenyataannya di Facebook.

Agak mengejutkan, Idris tersilap apabila memaksudkan Rang Undang-Undang Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2017 atau Akta 164 sebagai 364 yang berkaitan Akta Kewangan 1988.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sikap Pas dalam berkecuali lagi jelas dengan menganggap ‘kebenaran’ adalah rakan partinya manakala ‘kebatilan’ adalah musuh Pas walaupun diketengahkan oleh “kawan Pas”.

“Pas meraikan mereka yang menentang bajet, terpulang kepada pendirian masing-masing,” tambahnya lagi.

6.5
OVERALL SCORE
: 7.0
3 user votes x 6.3
CATEGORIES
TAGS