Najib ajak pemimpin dan ahli cari titik perdamaian

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyatakan pendiriannya untuk berjiwa besar dengan mengajak semua pemimpin dan ahli Umno mencari titik penyatuan di dalam parti untuk bersama beliau, demikian ucapan pengulungan pada penutupan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 petang tadi.

Sebagaimana beliau pernah menyebut dalam ucapan dasar, sebagai mengambil ajaran Islam, beliau sekali lagi memilih untuk berjiwa besar.

“Saya bagi tahu bahawa saya Najib Razak sebagai Presiden Umno memilih untuk berjiwa besar.

“Saya memilih berjiwa besar untuk membuka pintu serta kenali hati saya, menghulurkan silaturahim kepada semua supaya kita dapat bersatu kembali mengukuhkan ikatan Umno ini,” ujarnya yang mendapat tepukan gemuruh di kalangan perwakilan di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

Malah Najib dengan tegas, menyatakan jika seandainya mana-mana pihak masih mahu menolak kepimpinannya bermakna menolak titik perdamaian.

“Namun dengan tegas saya mahu nyatakan jika seandainya mana-mana pihak tetap meolak dan mahu pertelagahan ertinya…ertinya… faham baik-baik… kini bukan lagi soal peribadi.

“Mereka bukan menentang saya sebagai Najib Razak, sebagai presiden parti bahkan ternyata mereka telah tolak mencari titik perdamaian dan menolak keputusan syurah parti Umno kita ini.

“Apa guna kita bermusuh, berpatah arang berkerat rotan kerana yang menang akan menjadi arang dan kalah akan menjadi abu, nanti orang lain pula dapat untung.

“Sebagai kesimpulannya, begitulah realiti kehidupan masa kini ada pasang ada surutnya. Ada masa susah ada waktu gemilangnya,” ujarnya.

Beliau juga memetik kata-kata pemikir ulung Hamka, katanya, hidup ini ada pertengahannya  antara pahit dan manis, jika selalu saja manis tentu berasa bosan kalau selalu pahit jiwa pasti menjadi rawan.

“Walau rentung dibakar fitnah walau bercerai anggota dari badan, walau terpacak panah dan lembing panji-panji Umno kita tegakkan juga. Patah sayap bertongkat paruh patah paruh bertongkat lutut..’they shall be no retreat no surrender…no retreat no surrender,” ulanginya penuh bersemangat mengakhiri ucapan pengulungan Presiden petang ini.

Beliau kemudian dilihat  bersalaman dengan semua Ahli Majlis Tertinggi  dan mengenggam erat  ketika bersalaman dengan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin di pentas persidangan dengan diiringi lagu ‘Anak Kecil Bermain Api’ dari Koir Penuntut Universiti Teknologi Mara.

Melihatkan detik itu berlaku spontan dipentas persidangan  telah menyentuh hati semua perwakilan yang  terus berdiri dan memberikan sorakan  dan tepukan gemuruh apabila menyaksikan dua pemimpin besar parti itu bersalaman.

Perhimpunan Agung kali ke 69 ini  berlansung selama empat hari dan telah bermula pada 8 Disember hari ini melabuhkan tirainya dengan ucapan pengulungan Presiden Umno.

 

TAGS