Najib bidas BR1M dianggap  ‘dedak’

Najib bidas BR1M dianggap ‘dedak’

Hasil kerajaan yang dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan segelintir pihak menyifatkan bantuan itu sebagai ‘dedak’ adalah satu penghinaan.

Najib berkata kestabilan politik yang dinikmati di negara ini merupakan antara faktor penting untuk membolehkan sesuatu perayaan diraikan dengan meriah selain memastikan ekonomi negara terus kukuh.

“Ada yang menidakkan dasar kita memberikan BR1M, hina orang yang terima kata makan dedak. Dedak ini makanan binatang, kita tak boleh samakan dengan apa yang rakyat terima,”katanya semasa berucap pada Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang dekat Bagan Datoh, yang dihadiri kira-kira 50,000 orang.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz..

Najib berkata Malaysia bukan satu-satunya negara yang memberi bantuan dalam bentuk kewangan kepada rakyat malah, beberapa negara lain turut berbuat demikian cuma ia berbeza daripada segi nama.

Menurutnya sebanyak RM5.2 bilion diperuntukkan untuk BR1M tahun ini dengan Perak menerima jumlah keseluruhan RM521 juta termasuk Bagan Datoh yang mendapat RM14.8 juta.

“Bila rakyat mendapat BR1M, kita sebenarnya membantu memajukan ekonomi tempatan dengan memastikan ekonomi bergerak kerana rakyat akan membeli barangan,” jelas beliau.

TAGS