Najib harus berani nyatakan siapa MO1? desak Mahfuz

Najib harus berani nyatakan siapa MO1? desak Mahfuz

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Mahfuz OmarPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri perlu menyatakan siapakah Malaysia Official 1 (MO1) yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat, desak Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau  berharap, sebagai “pahlawan Bugis,” Najib sepatutnya tampil dengan berani menyatakan siapakah MO1.

“Selagi Najib tidak membuat penjelasan, ada menteri yang takut hendak menyatakan siapakah MO1, walaupun ada menteri yang terkeluar cakap dan menyatakan MO1 itu ialah Perdana Menteri.

“Jika tidak, ada yang terlajak cakap dan menyatakan MO1 ialah Perdana Menteri, ada yang tak berani mengaku bahawa MO1 adalah Perdana Menteri malah ada yang biadab dan mengaitkan Yang DiPertuan Agong sebagai MO1,” katanya.

Mahfuz yakin, Najib bersetuju bahawa rakyat ingin melihat Perdana Menteri yang berani bertanggungjawab.

“Berani bertanggungjawab adalah ciri pahlawan Bugis yang pernah kita baca.

“Kita tak mahu seperti yang selalu dilihat orang di Bugis Street,” katanya.

Mahfuz juga bertanya, adakah mereka yang enggan atau tidak berani menyatakan bahawa Perdana Menteri adalah MO1 adalah “orang bodoh”?

Sebelum ini, BBC melaporkan kerajaan secara rasmi mengesahkan bahawa MO1 yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil DoJ berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah Perdana Menteri.

“Saya telah kata secara terbuka. Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah Perdana Menteri,” BBC memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

“Tetapi saya juga berkata, mengapa DoJ tidak menamakannya dengan nama yang betul. Ini kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan ini.

“Ada orang lain yang dinamakan dan Jabatan Keadilan akan membawanya ke mahkamah dan mahkamah akan membuat keputusan,” katanya.

Rahman Dahlan berkata adalah bukan rahsia mengenai siapa MO1 tetapi beliau tidak menamakan individu berkenaan.

Setiap orang yang membaca dokumen-dokumen mahkamah atau mengetahui isu berkenaan akan tahu siapa orang yang sedang dirujuk, katanya.

“Tidak ada misteri tentang Malaysian Official 1, hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu,” katanya.

Bagaimanapun, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas pengesahan kerajaan bahawa MO1 adalah Perdana Menteri.

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas pengesahan yang dibuat Rahman Dahlan hari ini.

“Itu kena tanya Rahman Dahlan,” kata Ismail dalam sidang medianya di Serdang hari ini.

Bagaimanapun selepas diasak pemberita, anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata beliau akan berbincang dengan Rahman berhubung kenyataan tersebut.

“Saya kena bincang dulu dengan beliau, saya bimbang kenyataan saya nanti bercanggah,” kata Ismail.

Pada 20 Julai lalu, DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset di Amerika Syarikat yang didakwa dibeli menerusi dana yang diselewengkan daripada 1MDB. Ia merancang untuk mengembalikan hasil penjualan aset berkenaan kepada Malaysia.

DOJ tidak menamakan “MO1” tetapi menyifatkannya sebagai pegawai kanan kerajaan yang sebelum ini disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia kerana mempunyai AS$ 681 juta di akaun bank peribadinya.

Riza Aziz, anak tiri Najib dan Jho Low, seorang ahli perniagaan yang dilaporkan rapat dengan keluarga perdana menteri, juga dinamakan dalam saman DoJ itu.

Turut dinamakan adalah pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Peguam Negara Malaysia Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan daripada sebarang salah laku berhubung wang AS$ 681 juta itu atas alasan ia adalah “derma” dari keluarga diraja Arab Saudi. Namun bagi DoJ, wang itu berasal daripada 1MDB.

DoJ berkata sekurang-kurangnya AS$ 3.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB dan sedang berusaha menyita AS$ 1 bilion aset yang didakwa dibeli menerusi wang yang dicuri itu.

TAGS