Najib jangan cakap tak serupa bikin, jangan jadi hipokrit, kata Khairuddin

Najib jangan cakap tak serupa bikin, jangan jadi hipokrit, kata Khairuddin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak perlu hipokrit apabila mengarahkan siasatan segera dilakukan ke atas penyelewengan dana RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata,perdana menteri harus beri pencerahan secara telus dan komprehensif kepada 30 juta rakyat Malaysia serta keseluruhan dunia mengenai kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu wang derma RM2.6 billion dan RM42 juta dana syarikat SRC International yang masuk ke dalam akaun peribadinya terlebih dahulu disiasat segera.

“Najib seharusnya mengambil pendekatan untuk bercuti dan izinkan semua pihak penguatkuasa undang-undang melaksanakan siasatan mereka secara telus lagi bebas bagi meyakinkan rakyat bahawa segala bentuk siasatan tidak dipengaruhi oleh perdana menteri Malaysia

“Jangan cakap tak serupa bikin. Jangan jadi hipokrit. Jangan nampak kesalahan jenayah orang lain saja. Suluh muka sendiri juga!,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Khairuddin lagi, seandainya Najib yang juga Presiden Umno itu mengambil pendekatan itu beliau amat yakin seluruh warganegara mahupun warga luar akan menghormati beliau

“Beliau tidak harus rasa gusar ataupun takut kerana kata pepatah orang tua-tua, ‘berani kerana benar’.

“Jawatan perdana menteri boleh dijawat semula sekiranya satu proses siasatan secara bebas dan telus mendapati beliau tidak bersalah!!

“Sekiranya beliau mengambil kaedah ini untuk membersihkan namanya yang tercemar dengan begitu teruk sekali barulah sesuai beliau cakap rasuah adalah musuh kita.” ujarnya.

Malah Khairuddin turut menyarankan agar menteri KBs, Khairy Jamaluddin mengambil pendirian untuk bercuti buat sementara waktu sehinggalah siasatan kes rasuah RM100juta juta keatas kementeriannya selesai disiasat.

“Janganlah asyik nak perbesarkan isu pembelian rumah Lim Guan Eng saja yang berjumlah RM2.8 juta.

“Inilah masalah dengan pemimpin-pemimpin umno, Kuman di seberang laut nampak tapi bangkai gajah di depan mata tak nampak.

“Apa pun Allah swt sedang menunjukkan satu per satu skandal rasuah yang berlaku terlalu berleluasa di negara kita masakini,” dakwanya.

Ujarnya lagi atas dasar itu beliau pikul tanggungjawab laksanakan fardhu kifayah untuk lawan rasuah secara habis-habisan demi menyelamatkan masa depan negara sepertimana yang termaktub di dalam Deklarasi rakyat selamatkan Malaysia.

Semalam perdana menteri mengarahkan supaya siasatan berhubung isu penyelewengan dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta di KBS dilakukan dengan serta merta.

Beliau turut mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya meningkatkan lagi tahap pemerhatian, ketelusan dan akauntabiliti.

 

TAGS