Najib kekal kerana disokong Umno bahagian, kata Mujahid

Najib kekal kerana disokong Umno bahagian, kata Mujahid


Hanya ketua-ketua bahagian Umno yang memiliki kuasa untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri hari ini dan selagi mereka masih membisu dengan desakan rakyat, tuntutan agar Datuk Seri Najib Razak diganti tidak akan terlaksana, kata Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusuf.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hanya ketua-ketua bahagian Umno yang memiliki kuasa untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri hari ini dan selagi mereka masih membisu dengan desakan rakyat, tuntutan agar Datuk Seri Najib Razak diganti tidak akan terlaksana, kata Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusuf.

Sehubungan itu beliau menyeru ketua-ketua bahagian Umno supaya melihat kepentingan negara dengan menolak kepincangan Perdana Menteri dan bersikap berani di atas kebenaran.

“Janganlah kerana terhutang budi dengan kepentingan material, kita menggadaikan maruah negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Mujahid, suasana negara hari ini menuntut semua pihak bertangungjawab melakukan yang terbaik untuk memulihkan maruah negara setelah Perdana Menteri gagal melaksanakan tanggung jawab memelihara asas penting negara.

Negara ujarnya menghadapi krisis defisit kepercayaan (deficit trust) apabila berlaku campur tangan politik yang serius dalam institusi Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

“Hari ini tokoh besar seorang negarawan seperti Tun Dr Mahathir Mohamed telah melahirkan rasa kesalnya ke atas apa yang berlaku dari salahguna kuasa PM dan justeru itu menyeru kita semua meninggalkan kepentingan parti supaya negara dapat diselamatkan oleh kepincangan kepimpinan di bawah Perdana Menteri hari ini,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Seruan Dr Mahathir selaku seorang negarawan, ujar Dr Mujahid perlu diambil serius oleh semua pihak walaupun gerakan massa menyelamatkan negara dari kepincangam kepimpinan negara sudahpun diaktifkan terlebih awal oleh Gerakan Reformasi (1999-2008) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya disambung melalui wadah Pakatan Rakyat (2009-2014) dan terbaru Pakatan Harapan (2015 hingga kini).

Menurutnya, antara sebab utama Perdana Menteri sukar untuk diganti adalah kerana Umno masih mempertahankan kedudukan Perdana Menteri yang secara amalannya ialah Presiden Umno.

“Hanya Ketua-Ketua Bahagian Umno memiliki kuasa untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri hari ini dan selagi mereka masih membisu dengan desakan rakyat dan beberapa tokoh penting negara dari parti mereka sendiri, selagi itulah kepincangan dan penyelewengan Perdana Menteri hari ini akan terus menjadi ancaman kepada kepentingan negara.

“Oleh itu, saya menyeru kepada ketua-ketua bahagian Umno supaya melihat kepentingan negara lebih utama dengan menolak kepincangan Perdana Menteri hari ini dan bersikap berani di atas kebenaran,” katanya.

Beliau menyokong seruan Dr Mahathir agar semua pihak meninggalkan sementara kepentingan parti dan kelompok supaya kepincangan yang berlaku kini dapat dihentikan.

Rakyat Malaysia juga, ujar beliau perlu mengambil serius seruan Pakatan Harapan untuk membawa harapan politik baharu agar reformasi instituisi negara secara menyeluruh dapat disegerakan termasuk kebebasan bersuara dan pilihan raya yang besih.

“Sesungguhnya ia bukan sekadar usaha menggantikan Perdana Menteri dari meneruskan kepincangannya tetapi juga memperkenalkan pakej reformasi berstruktur secara menyeluruh melalui institusi-institusi penting negara yang gagal dilakukan oleh pemerintahan BN hari ini,” tegas beliau.

Dr Mujahid turut menyeru mantan Timbalan Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin Umno supaya berani menyahut seruan Dr Mahathir dan Pakatan Harapan agar perubahan dilakukan dalam kadar segera untuk menyelamatkan negara dari berterusan menuju ke arah krisis yang merugikan.

“Marilah kita bina harapan baru bersama, demi negara, nusa dan bangsa,” saran beliau.

TAGS