Najib perlu turun bersihkan nama, kata kumpulan rebel Umno

Najib perlu turun bersihkan nama, kata kumpulan rebel Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak turun ke peringkat akar umbi parti untuk membersihkan semua tohmahan selepas Peguam Negara memutuskan bahawa Presiden Umno itu tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah membabitkan derma RM2.6 bilion.

Presiden GKCM, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, masih banyak persoalan yang belum terjawab selain isu RM2.6 bilion dan RM42 juta membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Dalam dua isu ini Najib sudah boleh bercerita secara santai menghubungkan mana-mana ‘point’ yang belum bersambung supaya ceritanya boleh ditutup terus.

“Selama ini Najib mendiamkan diri kerana alasannya kes berada dalam siasatan, kononnya subjudis.

“Najib juga mengakui ada menerima RM42 juta itu, tetapi kenyataan Peguan Negara tidak pula menjelaskan isu RM42 juta,” ujarnya mengulas mengenai keputusan Peguam Negara ketika menghadiri majlis pelantikan Ahli Jawantkuasa GKCM di Selangor.

Dalam satu pertemuan dengan Malaysia Dateline, baru-baru ini, Kamarulazman atau mesra dipanggil Cikgu Kamarul mengulangi desakan gabungan itu agar Najib berundur demi kelangsungan Umno sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.

GKCM mahu Umno diterima di kalangan 3 juta ahlinya tetapi pada hakikatnya parti itu sendiri perlukan perubahan untuk diterima.

Presiden GKCM Kamarulazman Habibur Rahman“Jika keseluruhan kepimpinan Umno dari ketua cawangan, ketua bahagian hingga ke presidennya tidak mahu ke arah perubahan dalam parti dan kepimpinan, orang Melayu tidak boleh terima parti dan pemimpin Umno lagi.

“Sekarang orang Melayu sudah hilang kepercayaan kepada Umno, kebarangkalian Umno akan kalah dalam PRU14 itu sangat tinggi jika perdana menteri masih tidak berundur,” ujarnya.

Ditanya sejauh mana GKCM menilai sokongan ahli Umno terhadap parti dan presiden mereka, cikgu Kamarul berkata, gabungannya sudahpun mengadakan pertemuan di beberapa cawangan dan laporan yang diterima di kalangan ahli-ahli cawangan mendapati terdapat ketua-ketua bahagian menunjukkan ‘sokongan senyap’ mereka atas usaha dilakukan CKGM.

Katanya, ahli Umno kini sudah berpecah kepada tiga kumpulan jika mahu menyatakan sokongan mereka terhadap parti dan Presiden Umno.

“Kumpulan pertama ini ‘hardcore’ apapun yang diceritakan, mereka tetap menyokong parti.

“Kumpulan kedua berkemungkinan besar menunjukkan tanda protes dengan tidak keluar mengundi dan kumpulan ketiga akan mengundi parti lawan.

“Kali ini (dalam PRU14) bukan sahaja pembangkang yang menentang Umno-BN, ahli Umno juga akan menentang parti dari dalam tanpa menonjolkan diri kerana takut untuk bersuara dan dituduh ‘rebel’ kerana menentang pemimpin dan bimbang hilang jawatan atau digantung keahlian.

“Sebab itu apa yang kita lakukan adalah ‘educate’ ahli Umno untuk memberitahu kepada mereka amalan politik mereka sudah jauh ketinggalan zaman iaitu politik
perkauman dan penindasan,” ujarnya.

Beliau tidak mahu menyebut berapa ramai ketua-ketua cawangan yang menyertai GKCM untuk menjaga keselamatan ahli dalam gabungan ini yang didakwanya sering digertak dan diugut oleh ketua-ketua bahagian yang tidak sehaluan dengan perjuangan mereka.

“Kita bukan menentang parti tetapi kita menentang keburukan dan ketidakadilan yang dilakukan oleh sebahagian pemimpin parti terhadap ahli dan rakyat selama ini,” tegasnya.

Mengulas pandangan bahawa perjuangan GKCM untuk menolak kepimpinan Najib sudah pun dilakukan pakatan pembangkang, Cikgu Kamarul menyanggah tanggapan itu.

“GKCM tidak boleh disamakan dengana mana-mana NGO antikerajaan atau mana-mana perjuangan parti pembangkang.

“Kami tidak mahu menjatuhkan parti tetapi kami mahu membetulkan parti dari dalam. Ini berbeza dengan apa yang dilakukan di kalangan pakatan pembangkang yang mahu menjatuhkan kuasa Umno-BN dan pembangkang mahu memerintah negara.

“Walaupun kami dilihat turut serta dalam beberapa isu seperti bantah TPPA, itu tidak bermakna kami menentang atau mengajak rakyat untuk menjatuhkan Umno-BN dan mengajak ahli Umno dan rakyat menyokong Pakatan Harapan.

“GKCM ditubuhkan untuk perkuatkan Umno kerana Umno sudah menyeleweng jauh dari landasan di awal perjuangannya selepas kemerdekaan.

“Pemimpin lebih pentingkan wang ringgit berbanding memartabatkan Melayu. Malah ramai kaki bodek pemimpin berbanding memberi nasihat.

“Kami berani untuk berdebat dengan mana-mana ketua bahagian atau ahli majlis tertinggi dalam apa jua isu membabitkan parti.

“GKCM kena betulkan supaya Umno kembali menjadi parti yang dihormati semua kaum, dapat memperjuangkan hak-hak rakyat menjaga kepentingan Melayu dan Islam sebab itu kami berani untuk berkata benar,” ujarnya.

TAGS