Najib tidak akan sahut cabaran forum Nothing to Hide 2.0?

Najib tidak akan sahut cabaran forum Nothing to Hide 2.0?

Setiausaha Akhbar perdana menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad memberi bayangan cabaran debat Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap bosnya Datuk Seri Najib Razak tidak akan menjadi kenyataan.

Tanpa memberikan kata putus jelas, Tengku Sariffuddin mengingatkan, sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri, acara sebegitu tidak pernah berlaku di era Mahathir.

“Dr Mahathir Mohamad tidak pernah mengadakan debat town hall bersama musuh-musuh politiknya selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri,” katanya ringkas.

Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut perkara itu.

Dalam kenyataannya di Facebook Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam, Tengku Sariffuddin bagaimanapun banyak mengulas isu lain, terutamanya kedudukan Mahathir dalam Pakatan Harapan.

Pada Selasa lalu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Najib hadir dalam forum Nothing to Hide 2.0 yang dijangka akan pada 13 Ogos depan diadakan di Shah Alam.

Dr Mahathir berkata, melalui forum ini, sebenarnya memberi peluang kepada Najib membersihkan namanya terhadap segala tuduhan.

Malah beliau mahu Najib hadir tanpa mengantikan kehadirannya dengan mana-mana menteri kabinet termasuk Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.

Kali pertama program Nothing to Hide ini ingin diadakan bersama Najib yang juga Presiden Umno itu gagal ketika diadakan di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Mei 2015 lalu.

Program berkenaan telah dibatalkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar demi menjaga kenteraman awam.

Berikutan pembatalan program berkenaan, Dr Mahathir dilaporkan telah mengambil alih pentas dan mengantikan dengan Program Bersama Tun Dr Mahathir.

TAGS