Nasib pendidikan tinggi: Mana moral kerajaan?

Nasib pendidikan tinggi: Mana moral kerajaan?

 

Saya terkesan dengan respon mempertahan hak Perdana Menteri ke luar negara bercuti bersama anak-anak meskipun menggunakan jet peribadi.

Ternyata, kita memahami sudut manusiawi dan ruang bersama kekeluarga buat Perdana Menteri kita. Persoalannya, di manakah sudut manusiawi Perdana Menteri dalam memacu kebajikan rakyat apabila belanjawan pendidikan dan kesihatan rakyat dipotong?

Manusiawikah Perdana Menteri apabila memutuskan Universiti ulung kita, Universiti Malaya menanggung potongan hampir 60 peratus belanjawan kajian dan pembangunan?

Potongan ini sampai mengakibatkan penjawat awam UM yang melahirkan kenyataan bahawa mustahil buat mereka mengekalkan kecemerlangan penyelidikan apabila belanjawan dipotong.
Bayangkan sahaja apabila RM 100 juta belanjawan untuk tahun 2015 dipotong ke RM 40 juta pada tahun 2016.

Nasib Universiti Malaya berlatarbelakangkan belanjawan universiti-universiti Malaysia yang hampir kesemuanya dipotong secara keterlaluan.

Universiti Malaya yang telah diperuntukkan RM638.1 juta bagi tahun 2015, telah dikurangkan peruntukannya sebanyak 27 peratus kepada RM463.9 juta pada tahun 2016 — selaras dengan potongan 40 peratus untuk penyelidikan tahun lepas.

Bukankah penulisan dan hasil dapatan kajian itu adalah merupakan input/keperluan yang boleh meningkatkan taraf hidup masyarakat secara umum?

Sekarang, peruntukan keseluruhan Universiti Malaya hanya bernilai RM370 juta bagi tahun 2017, iaitu 20 peratus kurang dari peruntukan pada tahun 2016, dan 42 peratus kurang dari peruntukan pada tahun 2015.

Tanpa pelan jangka masa panjang yang bersifat berkala dan mapan, universiti tidak wajar dibebankan dengan dasar kementerian untuk menjana pendapatan dan menanggung urusan-urusan teknikal hanya kerana kegagalan kerajaan dalam menguruskan kewangan negara.

Lebih malang lagi, buat universiti-universiti lainnya seperti Universiti Malaya yang mempunyai hospital pengajar (teaching hospital) seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Maksudnya kesemua pelajar jurusan perubatan dan hospital terkait turut terkesan akibat pemotongan ke atas universiti.

Para pesakit terpaksa dikenakan caj yang tinggi apabila hospital tidak lagi mampu menampal kemerosotan dana dalam rawatan dan ubat-ubatan. Sewajibnya menjadi tanggungjawab kerajaan menjaga status serta kualiti khidmat hospital pengajar.
Para pesakit dan hospital jangan dijadikan mangsa kebobrokan salah urus tadbir negara akibat kemelut rasuah dan pembaziran.

Tuntutan agar universiti menjana 30 peratus pendapatan sendiri melalui produk penyelidikan adalah desakan yang mendadak dan tidak mengambil kira kesulitan universiti. Pendidikan bukan untuk diniagakan. Malangnya, yuran kekal sama walau kualiti penyelidikan dan pengajar semakin menurun dengan keputusan Perdana Menteri yang anti pendidikan dan kesihatan.

Cadangan Penyelesaian:

1) Jaminan terbaik bagi autonomi universiti – di segi pentadbiran dan akademik – ialah dengan mempunyai Piagam Universiti bersama dengan Suruhanjaya Geran Universiti (UGC), yang terbukti berjaya dilaksanakan di banyak negara.

2) Pertahankan prestasi universiti dan kebebasan mereka daripada campur tangan atau pengaruh mana-mana kepentingan politik dan kewangan. Perlu adanya perbincangan dan ruang diskusi terutamanya dalam mendesak kerajaan mengembalikan hak universiti. Mungkin sahaja sekiranya pihak pentadbiran UM mengambil langkah bijaksana lagi berani dengan mendokong tindakan mahasiswa #TangkapMO1 mempersoalkan pemimpin nombor satu negara, pastinya para penyelidik dan pensyarah tidak perlu menanggung beban potongan yang maha tinggi.

3) Rasionalisasi pemotongan belanjawan terutamanya terhadap universiti yang mempunyai hospital bagi tujuan penyelidikan. Potongan terus terhadap universiti pastinya memberi kesan secara langsung terhadap para pesakit yang sedang menjalani rawatan di hospital universiti seperti PPUM,HUKM dan HUSM. Dari tahun 2016, bajet untuk PPUM telah dipotong sebanyak 7 peratus dari RM443.5 juta ke RM412 juta untuk tahun 2017.

Justeru, saya gesa agar Dato’ Seri Najib Razak bersama barisan memanda menteri agar berhentilah memainkan sentimen yang kononnya manusiawi tetapi bersikap acuh tak acuh dalam menangani isu yang merantai benak rakyat terutamanya para pelajar dan pesakit di Malaysia.

Perdana Menteri, pertahankanlah sudut manusiawi rakyat dengan melabur dana dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

#BersamaSelamatkanMalaysia #TangkapKleptokrat #BersamaPerangiRasuah
#ManaDanaUniversiti

* Penulis adalah ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN.

CATEGORIES