Nelayan tempatan tidak yakin sindiket nelayan asing akan dibanteras

Raja Bahrin bertemu nelayan bertanyakan pandangan mereka tentang langkah penguatkuasa membanteras sindiket nelayan asing.

Rata-rata nelayan tempatan yang ditemui tidak yakin sindiket nelayan asing di perairan negara akan berjaya dibanteras walaupun beberapa nelayan asing dan pegawai maritim yang melindungi mereka telah didakwa di mahkamah.

Malah ramai di kalangan mereka yakin nelayan warga Vietnam dan bot yang dirampas akan dibebaskan dan beroperasi semula secara haram.

Ahli parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, kunjungan beliau ke jeti utama nelayan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu selepas sidang parlimen Jumaat lepas mendapati, sebahagian besar nelayan yang ditemui sinis dengan usaha penguatkuasaan yang dilakukan terutama menjelang pilihan raya umum (PRU).

“Pada keseluruhannya nelayan dan rakyat percaya selepas musim pilihan raya, operasi seperti ini tidak akan dijalankan lagi. Mereka terlalu arif dengan adegan bermusim dengan agenda tersendiri kerajaan. Mereka telah melihat sandiwara sebegini dahulu. Nelayan akan masih kekal di kalangan termiskin dengan pendapatan di bawah RM450 sebulan,” ujar beliau.

Para nelayan juga yakin kakitangan dan pegawai maritim yang ditangkap adalah ‘golongan bawahan’ sedangkan mereka yang lebih berkuasa melindungi sindiket nelayan asing ini masih bebas.

“Nelayan juga kecewa dengan sikap tidak tegas kerajaan yang melepaskan kembali bot yang dirampas dengan mudah sementara pihak berkuasa Indonesia lebih tegas dengan memusnahkannya,” jelas Raja Bahrin.

Beliau menambah, nilai kerugian kecurian tangkapan laut yang bernilai RM4 bilion hingga RM6 bilion setahun membuktikan sindiket tersebut didalangi oleh mereka yang berprofil tinggi.

“Mereka telah bermaharajalela begitu lama dan bebas di luar ‘kesanggupan’ dan kemampuan pihak berkuasa bertindak seolah-olah ‘Pirates of the Carribean’ di Asia yang ganas lagi berpengaruh besar.

“Ada juga wanita asing muda Vietnam yang mempunyai pengaruh di kalangan pihak berkuasa atasan hingga boleh memiliki gelaran ‘Datuk’,” tambah Raja Bahrin.

Bernama dalam laporan bertarikh 9 Nov lalu menyebut, seorang lelaki pemilik kapal menangkap ikan warga Vietnam dan seorang wanita Vietnam bersama suaminya telah didakwa di mahkamah kerana cuba memberi RM100,000 wang rasuah kepada saorang pegawai SPRM untuk melepaskan dua bot Vietnam yang telah dirampas pihak berkuasa.

Lelaki Vietnam bernama Tran Van Sang itu mengaku melakukan perbuatan rasuah tersebut dan boleh menghadapi hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda.

Raja Bahrin mempersoalkan sama ada pengakuan bersalah Tran akan mendorong siasatan lanjut dilakukan pihak berkuasa atau hanya dihentikan setakat itu bagi melindungi pihak yang lebih tinggi dan berkuasa.

“Adakah Tran juga mahu memikul tanggung jawab penuh supaya rakan rakyat Malaysia akan dilepaskan tanpa siasatan diteruskan kerana boleh membongkar rahsia orang atasan VVIP Malaysia yang berpengaruh?” soal beliau.

MenurutRaja Bahrin, aktiviti nelayan haram Vietnam dan Thailand telah dibiarkan berleluasa terlalu lama dan mereka yang dicantas sekarang boleh diibaratkan sebagai ‘ranting-ranting kecil’.

“Sindiket ini telah berakar umbi di bumi dan di dasar lautan negara kita. Selagi perancang utama dan ‘godfather’ tidak dibawa ke muka pengadilan, ranting-ranting yang di cantas akan tumbuh kembali seperti cendawan selepas hujan,” ujar beliau yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu.

4.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 8.0
CATEGORIES