NGO Bantah TPPA anjur sidang kemuncak, demonstrasi bulan ini

NGO Bantah TPPA anjur sidang kemuncak, demonstrasi bulan ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Gabungan NGO Bantah TPPA merancang untuk mengadakan Sidang Kemuncak TPPA 2016 pada 9 Januari ini sebelum satu demonstrasi aman pada 23 Januari sebagai kempen menentang penglibatan Malaysia dalam perjanjian perdagangan bebas itu.

Pengerusinya, Mohd Nizam Mahshar berkata, sidang kemuncak berkenaan dijangka melibatkan lebih 200 NGO dan persatuan dengan ucaptama daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut bakal dihadiri kira-kira 500 pemimpin sivil dan politik yang secara tidak langsung mewakili kepentingan dan aspirasi majoriti rakyat, ujarnya, sidang kemuncak itu mengesahkan penolakan masyarakat awam terhadap TPPA.

“Bukan kerana perbezaan politik yang remeh, sifat prejudis atau sentimen anti-perdagangan tetapi sebaliknya TPPA ditolak kerana tidak berpaksikan perlembagaan dan sebenarnya akan melemahkan demokrasi kita, menghakis kedaulatan negara dan meningkatkan kawalan korporat asing dalam kehidupan kita,” ujarnya dalam kenyataan media semalam.

Selain itu, katanya, campur tangan asing dalam hal ehwal ekonomi dibimbangi akan memberi impak negatif terhadap kenegaraan dan masa depan Malaysia selain menjerumuskan rakyat negara ini kepada penderitaan.

Menurut Nizam, satu deklarasi awam yang akan ditandatangani oleh seluruh organisasi terlibat akan dikeluarkan dalam sidang kemuncak berkenaan.

Dalam hal berkaitan, Bantah TPPA turut merancang untuk menganjurkan demonstrasi aman pada 23 Januari ini di lokasi yang bakal diumumkan nanti.

“Kami harap rakyat akan bersama dengan kami untuk menyuarakan tentangan terhadap TPPA sebelum dibahaskan di Parlimen,” ujarnya lagi.

TAGS