NGO desak Myanmar henti kekejaman ke atas Rohingya

NGO desak Myanmar henti kekejaman ke atas Rohingya

Kira-kira 200 anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Baling hari ini mengadakan perhimpunan bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya di negara itu.

Perhimpunan lebih sejam itu turut disertai anggota Pemuda Umno, Pemuda Pas, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pelajar GiatMara daerah itu.

Mereka turut membawa sepanduk tertera perkataan ‘Tarik balik anugerah Nobel Keamanan daripada Aung San Suu Kyi’, ‘PBB segera hantar tentera keamanan ke Rakhine’ dan ‘Keluarkan Myanmar daripada ASEAN’.

Naib Pengerusi Aman Malaysia yang juga pengerusi Biro Antarabangsa Umno Kedah Mohd Noor Mohd Amin berkata peserta perhimpunan mendesak Myanmar dikeluarkan daripada ASEAN kerana gagal menepati asas penubuhan ASEAN iaitu mementingkan keamanan sejagat.

{loadposition myposition}

“Kami mendesak tindakan tersebut diambil segera kerana Myanmar tidak layak berada dalam ASEAN disebabkan tidak memihak kepada keamanan dan melakukan kezaliman terhadap penduduk Islam Rohingya, katanya ketika ditemui pada perhimpunan itu.

Sementara itu, warga Myanmar, Abdul Gafar Anumia, 40, yang menetap hampir lima tahun di negara ini berkata, dia sentiasa bimbang dengan keselamatan anak dan isterinya serta anggota keluarganya yang lain di Myanmar.

“Sehingga kini, saya tidak tahu bagaimana keadaan isteri dan lapan orang anak saya yang dikhabarkan turut menjadi pelarian.

“Ramai saudara saya yang telah dibunuh serta dibakar dan saya amat risaukan keluarga saya kerana tidak dapat dihubungi,” katanya.

CATEGORIES
TAGS