NGO di Perak bantah kekejaman ke atas etnik Rohingya

NGO di Perak bantah kekejaman ke atas etnik Rohingya

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kira-kira 200 umat Islam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekumpulan etnik Rohingya yang menetap di negeri ini, berhimpun secara aman bagi membantah kekejaman serta penindasan ke atas kaum minoriti di Myanmar itu.

Himpunan di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) hari ini diadakan selepas para jemaah selesai menunaikan solat Jumaat.

Seramai 100 orang daripada pelbagai NGO antaranya Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Cawangan Perak mengemukakan bantahan tersebut.

Sekumpulan etnik Rohingya turut menyertai perhimpunan itu dan ada dalam kalangan mereka memegang plakad yang tertulis kata-kata tegas seperti mendesak hubungan diplomatik bersama Myanmar diputuskan.

Timbalan Yang Dipertua Ikram Perak, Mohd Fahmy Sarangat ketika ditemui pemberita berkata Malaysia harus menyatakan rasa kebersamaan dalam konteks kemanusiaan supaya etnik Rohingya tidak merasa keseorangan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga harus menunjukkan sikap serius melalui usaha-usaha yang dilakukan bagi menangani isu ini dengan lebih praktikal dan jelas.

Sementara itu, di Kuala Kangsar, kira-kira 100 umat Islam daripada 12 NGO mengadakan ‘Himpunan Selamatkan Rohingya: Rohingya Menangis Siapa Peduli’ selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Ridzwaniah.

Himpunan itu adalah anjuran Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) dan antara NGO yang terlibat ialah Talang Crew, Geng Lori Kayu dan Pertubuhan Imarah Masjid.

TAGS