NGO mahu Deklarasi Rakyat sentuh royalti petroleum Kelantan

NGO mahu Deklarasi Rakyat sentuh royalti petroleum Kelantan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pertubuhan R Kelantan (Royalti) mendakwa siri jelajah Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia ke negeri-negeri tidak menyentuh usaha-usaha untuk menghapuskan sikap dan tindakan diskriminasi politik terhadap negeri-negeri yang diperintah pembangkang.

Presidennya Nazri Deraman berkata, perkara paling besar seperti tuntutan royalti (bayaran tunai 5 peratus mengikut perjanjian Royalti & Akta Pembangunan Petroliam 1974) serta projek pasarana awam dalam Rancangan Malaysia yang dibekukan untuk Kelantan selama ini tidak disentuh langsung.

“Pertubuhan R Kelantan (Royalti) dengan ini merakamkan prinsip tegas bahawa Deklarasi Rakyat yang bertujuan menyelamatkan Malaysia wajib memperjuangkan keadilan menyeluruh dari isu negeri hingga isu negara. Bukan isu menukar kepimpinan tertinggi negara semata-mata,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Justeru beliau menuntut tokoh-tokoh yang menggerakkan Deklarasi Rakyat serta kempen Selamatkan Malaysia agar memasukkan isu-isu penindasan Persekutuan terhadap negeri-negeri.

Ini kerana katanya, semua negeri khususnya Kelantan terlibat dalam membentuk Malaysia.

“Rakyat dalam negeri-negeri yang membayar cukai yang dikumpulkan dan dibelanjakan persekutuan.

“Pihak Royalti sentiasa bersama dengan semua pihak dalam usaha untuk menyelamatkan negara ini daripada segala ketidakadilan sosial dan politik serta memperjuangkan perinsip-prinsip keadilan untuk semua negeri dan rakyat di negara ini,” katanya.

Deklarasi Rakyat dilancarkan oleh Tun Mahathir pada 4 Mac lepas dengan 45 tokoh ternama negara menandatanganinya di hadapan para wartawan. Mereka termasuklah bekas pemimpin Umno, pemimpin PKR, DAP dan Amanah dari Pakatan Harapan, pemimpin PAS dan pertubuhan bukan kerajaan.

Deklarasi ini bertujuan untuk memujuk Majlis Raja-raja agar menasihatkan Najib supaya meletakkan jawatan.

Mereka mensasarkan satu juta tandatangan menjelang 15 Mei ini sebelum ia diserahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu yang dijadual bermesyuarat beberapa hari selepas itu.

TAGS