Nilai RM2.7 bilion ambil alih Splash bukan dari kerajaan negeri

Nilai RM2.7 bilion ambil alih Splash bukan dari kerajaan negeri

Nilai RM2.7 bilion pengambilalihan aset Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) adalah harga rundingan mutakhir di antara Splash dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan bukan harga yang ditawarkan kerajaan negeri.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Nilai RM2.7 bilion pengambilalihan aset Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) adalah harga rundingan mutakhir di antara Splash dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan bukan harga yang ditawarkan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, tuduhan mantan Menteri Besar, Tan Sri Khalid lbrahim bahawa Menteri Besar Selangor telah menawarkan RM2.7 bilion kepada Splash adalah amat tidak bertanggungjawab sekaligus satu tohmahan.

Dr Dzulkefly AhmadAhli Panel Air Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memandang serius polemik berlanjutan isu pengambilalihan syarikat konsesi air Splash yang bermula sejak perbahasan Bajet Selangor 2017.

“Sebelum pembentangan Bajet 2017, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memaklumkan kerajaan negeri masih dalam rundingan dengan Splash bagi memastikan terma-terma komersil pengambilalihan tidak membebankan rakyat dan pengguna.

“Ke arah mencapai matlamat tersebut, tarikh tamat perundingan iaitu 23 Oktober 2016, seperti yang telah ditetapkan oleh kementerian terpaksa diganjakkan sekali lagi dengan diberi tempoh tambahan enam bulan bagi membolehkan rundingan terus dibuat,” jelas Dr Dzulkefly.

Beliau menambah, kerajaan negeri telah melantik penilai bebas antarabangsa bagi membuat penilaian yang adil dan profesional, lebih awal dari cadangan Kerajaan Persekutuan.

Malah Panel Air Selangor yang dianggotai beliau telah memberi input dan cadangan kepada pihak penilai bebas yang dilantik kerajaan negeri.

“Harga yang muktamad belum diputuskan oleh Kerajaan Negeri Selangor sehingga kini,” jelas beliau.

Selain Dr Dzulkefly, tiga lagi anggota Panel Air Selangor ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Parlimen Selayang William Leong.

Kerajaan negeri sebelum ini telah menyelesaikan pengambilalihan tiga lagi pemegang konsesi selain Splash iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB).

Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi AMANAH turut mengingatkan bahawa gesaan Khalid agar penetapan harga pengambilan syarikat konsesi dibahaskan di Dewan Undangan Negeri tidak dilakukan semasa beliau menjawat Menteri Besar.

“Dalam empat kali tawaran yang beliau cadangkan kepada pihak konsesi sejak 2009, termasuk akhirnya membuat bayaran kepada tiga syarikat konsesi iaitu Syabas, Abbas dan PNHB, tidak sekali pun ia dibahaskan di dalam Dewan Negeri Selangor kecuali sekadar pemakluman,” tegas Dr Dzulkefly.

Malah tambah beliau, Khalid pernah mencadangkan harga lebih tinggi untuk mengambil alih Splash dengan andaian serta perhitungan yang berbeza.

Mantan menteri besar itu juga, jelas Dr Dzulkefly tidak merujuk kepada Dewan Negeri Selangor untuk memulangkan kembali ‘non-water assets’ kepada Syabas yang nilainya mencecah RM500 juta.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly bagi pihak Panel Air Selangor mengharapkan Menteri Besar Selangor dan Exco Kerajaan Negeri dapat merumuskan penetapan harga yang adil dan munasabah demi kebaikan rakyat negeri ini.

Kenyataan penuh Panel Air Selangor berhubung isu pengambilalihan Splash boleh dibaca di akhbar mingguan Amanah edisi terkini.

TAGS