Noh Omar kebudak-budakan, gagal beza politik dan pentadbiran

Noh Omar kebudak-budakan, gagal beza politik dan pentadbiran

Arahan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Noh Omar membatalkan kelulusan projek kemudahan awam di kawasan Parlimen bukan diwakili BN bersifat kebudak-budakan dan berniat jahat.

Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Shakir Ameer berkata, tindakan Noh Omar yang juga pengerusi perhubungan Umno Selangor itu mencerminkan kegagalan beliau untuk membezakan di antara politik, pentadbiran dan tanggung jawab.

“Harus disedari bahawa rakyat adalah pembayar cukai dan kerajaan tidak boleh menindas sesiapa atas dasar politik.

“Sebagai kakitangan kerajaan, Ketua Pengarah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Hj Abu Bakar Johari juga sepatutnya lebih peka dan menasihati Kementerian bahawa keputusan yang diambil oleh Datuk Noh Omar adalah tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Shakir Ameer yang juga Bendahari DAPSY Selangor menambah, tindakan KPKT itu berbeza dengan pendekatan yang dilakukan Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan.

“Kerajaan Negeri Selangor tidak langsung menganaktirikan mana-mana pihak atau kawasan untuk projek-projek pembangunan tanpa mengira kerusi yang disandang oleh mana-mana parti politik.

“Kerajaan Negeri Selangor juga akan memastikan bahawa Adun pembangkang BN menerima peruntukan berpatutan untuk pembangunan kawasan dan juga kebajikan rakyat Selangor.

“Inilah perbezaan di antara Kerajaan Pakatan Harapan daripada BN, kami tidak menzalimi mana-mana pihak dan memastikan perkhidmatan optimum diberikan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), akan memastikan bahawa semua penduduk diberikan perkhidmatan terbaik tanpa mengira latarbelakang politik.

“Kami memahami bahawa mereka juga adalah pembayar cukai dan perkhidmatan harus diteruskan tanpa mengira siapa adalah kerajaan.

“Program-program dan projek pembangunan pro-rakyat juga akan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis,” katanya lagi.

TAGS