Nota buat insan rapat kepada 26 OKT pegawai kadet UPNM

Nota buat insan rapat kepada 26 OKT pegawai kadet UPNM

1.Adik beradik

Adik-beradik kepada OKT hendaklah memainkan peranan penting dalam segala urusan terutamanya terhadap kesihatan kedua ibu bapa.

Sudah pasti masa kini, kedua ibu bepa kepada semua OKT tersebut berada dalam keadaan yang tidak tenang, kemurungan, ada yang tidak makan memikirkan anak di penjara, adik-beradik hendaklah bersama sentiasa positif dalam apa jua keadaan, dan hendaklah tidak mengusutkan lagi pemikiran kedua orang tua buat masa ini.

2. Ahli keluarga & Saudara Mara

Ahli keluarga kepada OKT samada sebelah bapa ataupun sebelah ibu mahupun saudara mara kepada OKT hendaklah sentiasa memberikan sokongan moral kepada kedua ibu bapa dan keluarga OKT.

Janganlah ada ahli keluarga dan saudara mara yang mengecam, mengutuk, memperli dan seangkatan dengannya terhadap kedua ibu bapa mahupun keluarga OKT tersebut.

Ziarahilah keluarga mereka ini dan bantulah memberi sokongan dan moral, hubungilah mereka dan bertanya khabar agar kedua orang tua mereka ini tabah dan kuat untuk berhadapan dengan situasi ini.

3. Guru-Guru

Semua yang ingin memasuki UPNM hendaklah meletak UPNM sebagai pilihan utama semasa mengisi UPU. Sudah pasti kesemua OKT ini adalah pelajar cemerlang sewaktu Sekolah menengah dahulu. Sama ada mereka daripada MTD atau pun sekolah menengah yang lain.

Kesemua OKT ini pernah menjadi anak didik kalian semasa di sekolah menengah atau pun sekolah rendah.

Sudah pasti mereka ini akrab dan rapat dengan kalian. Kalian pasti mengenali budi hati mereka, sikap mereka dan tingkah laku mereka. Usahlah kalian kecam mereka dan hina mereka.

Sama-samalah kita doakan kebaikan buat mereka. Sekali mereka menjadi anak didik kalian, sampai bila-bila mereka tetap anak didik kalian.

4. Rakan dan sahabat OKT

Rakan atau sahabat adalah insan yang paling akrab selepas ibu bapa dan adik-beradik. Sekarang ini adalah fasa ujian berat yang sedang mereka tempuhi, menunggu tarikh dibicara.

Kesemua OKT ditempatkan di sebalik jeriji besi di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang. Kalian sebagai rakan lagi kenal siapa diri OKT, perangai, gelak tawa, dan lain-lain kalian lebih kenal.

Sempena Aidilfitri yang bakal tiba ini, carilah satu ruang masa, kumpulkan rakan-rakan kalian yang pernah bersama OKT sewaktu belajar di sekolah menengah atau pun rendah dahulu, pergilah ke teratak ayah bonda OKT tersebut.

Ziarahi dan bermesralah dengan ayah bonda serta adik-beradik OKT. Mungkin dengan kehadiran kalian, akan terubat kerinduan dan neikkan semangat ayah bonda OKT untuk meneruskan kehidupan ke hadapan. Ceritakanlah kebaikan OKT kepada ibu bapa mereka, sudah pasti itu akan menjadi penawar kepada duka mereka.

5. Jiran tetangga dan masyarakat awam

Arwah Farhan dan semua 26 OKT Pegawai Kadet UPNM merupakan pelajar cemerlang sewaktu SPM. Mereka bercitia-cita ingin menjadi pegawai tentera darat, laut ataupun udara. Bercita-cita apabila tamat pengajian 5 tahun di UPNM, akan keluar sebagai seorang Pegawai Tentera berpangkat Leftenan Muda dan akan berkhidmat untuk negara.

Kebanyakan mereka sebelum ini sedang menanggung kehidupan kedua orang tua mereka, menyara persekolahan adik-adik mereka yang lain dan tidak membebankan perbelanjaan sara hidup ibu bapa mereka kerana mereka mempunyai elaun bulanan sendiri sejak di Pengajian Peringkat Asasi lagi mahupun MTD.

Tidak pernah terlintas dalam kamus hidup mereka untuk menjadi seorang pembunuh ataupun mangsa yang terbunuh. Tetapi perkara yang tidak diingini telah terjadi dengan sekelip mata. Ia telah mengakibatkan Farhan terkorban dan yang lain menjadi mangsa kepada system dan budaya. Tidak pernah terfikir dek akal mereka akan menghuni Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang, serta menyusahkan ayah dan bonda mereka untuk turun naik ke mahkamah.

Tetapi ia telah berlaku, dan kesemua mereka sedang didakwa menunggu waktu dibicarakan. Mahkamah belum lagi membuat keputusan, dan fasa perbicaraan ini satu tempoh yang panjang.

Alangkah ruginya kita telah kehilangan seorang bakal Pegawai Tentera Laut bernama Farhan dan kita juga bakal mengorbankan 26 lagi bakal pegawai Tentera yang akan menjadi benteng kepada pertahanan negara kita, 2 atau 3 tahun mendatang setelah mereka tamat pengajian.

Farhan dan 26 yang lain adalah satu angka yang ramai. Usahlah kita menjadi hakim dunia, mufti akhirat dan menjadi tuhan manusia. Marilah kita bersama mendoakan yang terbaik buat mereka.

Sesungguhnya perkara sudahpun berlaku, mahkamah akan tentukan mereka bersalah ataupun tidak, Tuhan yang maha mendengar akan menghakimi taubat mereka sama ada diterima atau ditangguh.

Kita sebagai insan dan masyarakat awam, hendaklah kita jadikan peristiwa yang berlaku ini sebagai pengajaran buat diri kita, keluarga kita, dan masyarakat kita agar tidak berulang lagi perkara sebegini dalam negara ini.

Semoga Arwah Farhan damai di sana dan ditempatkan dalam kalangan para Solihin. InshaAllah. Al-Fatihah.

Khairol Najib Hashim ialah bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) 2014/2015, kini ialah Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Nasional, Parti AMANAH Negara. 

 

TAGS