Nothing to Hide 2.0: Saya cabar Najib datang, kata Dr Mahathir

Nothing to Hide 2.0: Saya cabar Najib datang, kata Dr Mahathir


"Saya mencabar Najib Razak hadir. Saya sendiri akan datang kerana bukan sahaja untuk menjawab segala tuduhan tetapi banyak persoalan dari pihak saya sendiri untuk tanyakan kepada Najib.Saya harap Najib datanglah...jangan macam Nothing to Hide kononnya ada rusuhan, tapi dia tak datang," ujar Pengerusi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam sidang media  petang ini, untuk mengumumkan program Nothing to Hide 2.0 untuk mencabar sekali lagi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk hadir.

Nothing to Hide 2.0 dijangka akan diadakan pada 13 Ogos pada jam 3petang hingga 6 petang itu akan diadahak di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam yang dianjurkan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Bekas perdana menteri ini berkata, Najib harus hadir memberikan jawaban terhadap semua tuduhan ke atasnya bagi merungkai kemelut 1MDB dan derma RM2.6bilion.

“Ini supaya rakyat dapat menilai mengenai salah laku beliau dalam 1MDB dan hal-hal berkaitan sama DoJ, isu kedaulatan negara dan dari mana  RM2.6bilion tu?

“Najib harus hadir memberi jawaban terhadap segala tuduhan kepadanya.Kita akan beri penjelasan kepada orang ramai yang akan mendengar penjelasan daripada saya dan Najib juga.

“Kali ini diharap dia tidak mengecewakan rakyat dia akan bagi penjelasan kerana dia seorang perdana menteri dan kita nak dengarlah kebenaran daripada Datuk Seri Najib,” ujarnya.

Dijangkakan seramai 1,000 jemputan di kalangan ahli Umno dan orang ramai untuk hadir ke program tersebut yang akan disiarkan secara lansung.

Dr Mahathir berkata, melalui forum ini, sebenarnya memberi peluang kepada Najib membersihkan namanya terhadap segala tuduhan.

Malah beliau mahu Najib hadir tanpa mengantikan kehadirannya dengan mana-mana menteri kabinet termasuk Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.

“Kita kalau boleh mahu Najib hadir, kita tidak mahu Nazri . Kita harap kali ini  polis juga  tidak menghalang.

“Jika pihak polis rasa perlukan bantuan untuk mengawal keadaan kita ada (Armada) boleh memberikan bantuan pada program diadakan.

“Jika dia tidak hadir, saya sendiri akan adakan program ini sendirian untuk menjawab semua soalan,” ujarnya.

Kali pertama program Nothing to Hide ini ingin diadakan bersama Najib yang juga Presiden Umno itu gagal ketika diadakan di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Mei 2015 lalu.

Program berkenaan telah dibatalkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar demi menjaga kenteraman awam.

Berikutan pembatalan program berkenaan, Dr Mahathir dilaporkan telah mengambil alih pentas dan mengantikan dengan Program Bersama Tun Dr Mahathir.

Manakala Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, beliau masih lagi belum memilih moderator untuk mengendalikan program Nothing to Hide 2.0 yang akan diadakan itu.

” Kita akan memilih moderator yang sesuai mungkin dikalangan rakan media untuk mengendalikan program ini, bagaimanapun sekiranya Najib tidak hadir  program ini akan diteruskan, saya akan menjadi moderatornya,” ujarnya dalam sidang media sama yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Mahathir Nothing to Hide

TAGS