NOW gesa kerajaan beri perlindungan kepada Bahri

NOW gesa kerajaan beri perlindungan kepada Bahri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan digesa memberi perlindungan kepada bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zain.

Pengarah Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW), Akmal Nasir, berkata Bahri wajar mendapat perlindungan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2012 bagi membolehkan beliau mendedahkan nama-nama pemberi serta penerima rasuah.

Langkah itu katanya, boleh diambil dengan mengiktiraf Bahri sebagai pemberi maklumat kerajaan.

Namun kata Akmal untuk membolehkan maklumat berkaitan didedahkan Datuk Seri Najib Razak perlu memastikan dokumen yang terlibat tidak lagi diletakkan di bawah kekangan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Invididu yang dinamakan Datuk Bahri sebagai pemberi atau penerima rasuah wajar dipanggil dan diberi ruang untuk membela diri secara terbuka.

“Ini boleh dilakukan dengan merujuk mereka kepada jawatankuasa khas parlimen atau membentuk suruhanjaya khas bagi menyiasat maklumat yang didedahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahri, 58, yang merupakan bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM bersara mulai Jumaat lalu selepas berkhidmat dengan agensi pencegahan rasuah itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Bahri menjelaskan kepada media, perjalanan dan kesan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB mendorong beliau memilih bersara awal.

Beliau memainkan peranan penting menyiasat SRC dan menjadi perhatian apabila sejumlah RM42 juta dananya ditemui pada akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun perdana menteri mendakwa beliau tidak tahu menahu wang itu adalah dari SRC.

BOK ditubuhkan pada 2010 untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan kes berprofil tinggi, terutama membabitkan rasuah bernilai lebih RM1 juta.

Selain beberapa pegawai BOK ditahan polis, Bahri juga diberikan diarahkan berpindah ke Jabatan Perdana Menteri melalui notis serta-merta pada Ogos tahun lalu.

Akmal juga berkata, kini Najib memiliki peluang terbaik untuk memulihkan integriti pendtabirannya dalam usaha melawan rasuah dan mencari kebenaran.

Justeru katanya kenyataan dibuat Bahri wajar diterima kerajaan dengan hati terbuka.

“Sekiranya pentadbiran beliau gagal mengambil tindakan yang sewajarnya susulan pengakuan Bahri, rakyat akan terus hilang kepercayaan terhadap usaha pentadbiran beliau melawan rasuah dan penyelewengan,” katanya.

TAGS