NUNJI cerdaskan pemikiran umat tentang maqasid syariah

NUNJI cerdaskan pemikiran umat tentang maqasid syariah

NADWAH Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2017 akan berlangsung pada 5 Februari ini bertempat di Kompleks Belia Selangor, Seksyen 7, Shah Alam. Penganjuran kali ini adalah yang kedua selepas 2015 mengambil tema “Maqasid Syariah Teras Negara Bangsa”. Mingguan Amanah menemui Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa selaku Pengarah NUNJI 2017 bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan penganjuran NUNJI kali ini.

Apa matlamat atau objektif penganjuran NUNJI 2017?

NUNJI 2017 adalah sambungan kepada NUNJI 2015 yang kita langsungkan sebelum ini. Tujuan utama NUNJI adalah untuk mencerdaskan pemikiran ahli AMANAH khususnya dan orang awam umumnya, kepada memahami maksud Syariah itu sendiri dalam kerangka tujuan dan prinsip utama mengapa Syariah itu dilaksanakan.
Kedua, supaya ahli AMANAH khususnya, dan orang awam umumnya dapat memahami kerangka sebuah negara bersandarkan kepada Maqasid Syariah. Ketiga, kita mahu menggambarkan NUNJI ini bahawa Maqasid Syariah itu terlalu besar, ia bukan sekadar satu disiplin tetapi juga merupakan kerangka berfikir dalam membentuk dasar-dasar negara termasuk ekonomi, sosial, pendidikan dan politik itu sendiri.

Dengan matlamat ini kita mengharapkan ia mencapai gagasan besar makna perjuangan menawarkan kepimpinan negara bersandarkan kepada Maqasid Syariah.

NUNJI 2017 kali ini adalah yang kedua. Apakah kejayaan NUNJI selepas ia mula dilancarkan pada tahun 2015?

Kita bermula pada penghujung 2015 ketika masih dalam Gerakan Harapan Baru (GHB). Ketika itu kita telah membuat satu resolusi supaya mewujudkan sebuah parti Islam yang progresif dan inklusif. Kemudian bulan seterusnya lahirlah sebuah parti yang kita namakan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sudah tentu usaha menubuhkan parti ini tidak mudah sehingga hari ini umurnya lebih setahun tetapi pada waktu sama kejayaan NUNJI 2015 adalah menetapkan untuk turun ke negeri-negeri. Jadi sepanjang 2016 tumpuan kita adalah banyak turun ke negeri-negeri. Saya merasakan satu kejayaan apabila kita telah berjaya turun mengikut zon-zon yang kita telah tetapkan.

Kita menurunkan segala resolusi NUNJI itu di peringkat negeri-negeri. Malah dengan adanya parti baru, NUNJI memainkan peranan menyegarkan minda tentang Islam dan kenegaraaan yang bersifat lebih kontemporari. Selepas kita letak tapak yang kukuh di Selangor dan Wilayah Persekutuan barulah kita anjurkan sekali lagi NUNJI 2017 di peringkat nasional kali ini.

Jika dilihat, NUNJI 2015 lalu sangat mendapat sambutan kerana kelainan dalam pendekatan penganjurannya. Apa pula perbezaan yang ditampilkan pada NUNJI 2017 kali ini?
 
NUNJI 2015 dibuat ketika kita masih dalam GHB, belum ada struktur yang baik ketika itu. Bagaimanapun ia menarik ramai orang hadir kerana atas beberapa isu mendesak ketika itu seperti ingin tahu apa beza gerakan ini dengan parti Pas, atau kalau jadi sebuah parti jadi macam mana.

Apa yang lebih menarik ketika itu adalah kita berjaya melontarkan satu idea “Fiqh Siyasi Manhaj Malaysia”. Oleh itu kita terpaksa membongkar konsep-konsep tradisi yang ada dalam siasah dan meletakkannya dalam konteks hari ini seperti dalam isu kenegaraan, isu kepelbagaian kaum dan juga isu pelaksanaan undang-undang Islam.

Hari ini kita ada parti AMANAH dan suasana 2017 kita bergerak dalam struktur parti tersebut dan saya yakin dengan struktur yang lebih tersusun ini kita kemungkinan besar berjaya meningkatkan kehadiran ahli yang kita sasarkan 1,000 orang.

Bagaimanapun kita juga terbuka menerima penyertaan daripada NGO, persorangan atau parti-parti politik yang berminat untuk hadir dan kita sangat alu-alukan.

Siapa yang dijemput dan ditampilkan sebagai pembentang kertas kerja kali ini dan berapa kertas kerja yang akan dibentangkan?

Seperti 2015, daya penarik NUNJI itu tentunya salah satunya adalah pembentangnya. Pada program ini kita juga jemput speaker dari luar negara sebab kita mahu NUNJI ini ada satu kualiti ilmu. Orang yang menyampaikannya itu orang yang berautoriti dalam bidang itu maka kehadiran dia itu bukan sahaja sekadar menggamit orang mendengar tetapi juga memberi keabsahan bahawa NUNJI ini bukan hanya program tepi jalan tetapi bertaraf internasional.

Tahun 2015 kita bawa tokoh Al-Farjani dari Parti An-Nahdhah, Tunisia yang kita anggap pemikirannya progresif dalam kerangka negara moden hari ini. Kali ini kita tampilkan seorang yang saya anggap tokoh ulamak muda antara ahli lembaga pengasas Persatuan Ulamak Islam Sedunia iaitu Prof. Dr. Jasser Auda yang hari ini menetap di Kanada dan terkenal dengan pandangannya kepada kerangka negara moden  mengikut lunas dan perinsip Syariah dan Maqasid.

Sesuatu yang menarik pada beliau ini adalah pandangan beliau sebagai seorang individu yang duduk di negara yang majoritinya bukan Islam tapi pandangan minoritinya dipakai sebagai satu aliran yang diterima di Barat. Saya kira beliau akan menjadi satu daya penarik kali ini yang akan membentangkan tajuk “Negara Madani, Referensi Kepada Prinsip-Prinsip Islam”.

Selain itu kita juga ada tokoh tempatan yang terkenal juga iaitu Dato’ Dr. Siddiq Fadhil yang juga mengenengahkan pandangan progresif berkaitan kenegaraan, negara bangsa dan sebagainya. Beliau akan membentangkan tajuk “Maqasid Syariah Teras Negara Bangsa”, manakala seorang lagi ialah Ustaz Wan Ji Wan Hussin dari Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi yang akan mebentangkan asas-asas kepada Maqasid.

Satu lagi kertas kerja yang akan dibentangkan oleh saya sendiri selaku yang bertanggungjawab melontarkan gagasan ini iaitu bertajuk “Pengenalan Awal Fiqh Siyasi Malaysia”. Inilah empat tajuk yang akan dibentangkan.

Di hujung program, sama seperti sebelum ini kita sediakan ruang untuk peserta berinteraksi dengan pimpinan AMANAH mungkin macam mana nak institusikan segala pemikiran itu dalam konteks sebuah perjuangan.

Sepanjang lebih setahun selepas NUNJI dilancarkan pada 2015, apakah produk-produk NUNJI yang telah berjaya dihasilkan?

NUNJI ini sendiri satu perkataan yang dipetik dari ayat al-Quran yang bermaksud: “Demikianlah dengannya, kami menyelamatkan orang-orang beriman…” di mana NUNJI itu sendiri bermaksud ‘menyelamat’.

NUNJI mempunyai satu badan penyelidik yang membariskan penulis-penulis yang akan membuat kajian berdasarkan tajuk yang kita rasa orang ramai boleh baca. Alhamdulillah, selama setahun ini kita telah siap lapan tajuk besar. Antaranya, “Islam Dan Demokrasi”, “Kepelbagaian Dalam Islam”, “Sikap Islam Terhadap Pelampau Dalam Agama”, “Perlaksanaan Hudud”, “Fiqh Kewarganegaraan” dan juga isu-isu berkait wanita.

Pada program ini juga nanti, akan ada satu pelancaran yang kita sebut ‘Prosiding 2016’ iaitu tajuk-tajuk yang telah dibentangkan sebelum ini dan kita kumpulkan, kita namakan dokumen ini sebagai “Islam dan Kenegaraan”.

Tiga lagi buku kecil kita namakan Siri Risalah Nahdhah yang membariskan tajuk-tajuk “Islam dan Demokrasi”, “Perlaksanaan Hudud Dalam Kerangka Fiqh Awlawiyat”, dan “Fiqh Kewarganegaraan”.

Apakah harapan terhadap penganjuran NUNJI 2017 kali ini?

Saya amat mengharapkan penyertaan yang menggalakkan daripada semua bagi mencapai sasaran 1,000 orang yang kita tetapkan. Kepada ahli-ahli AMANAH saya meminta supaya mengambil perhatian kepada surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung supaya setiap kawasan dapat menghantar wakil ke program ini.

Selain itu, program ini juga adalah terbuka kepada umum tanpa sebarang sekatan. Kami sangat mengalu-alukan semua pihak untuk menghantar wakil.

TAGS