OIC sokong putus hubungan dengan Qatar

OIC sokong putus hubungan dengan Qatar

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyokong penuh keputusan beberapa negara anggotanya yang memutuskan hubungan dengan Qatar berikutan dasar Doha yang didakwa menyokong terorisme dan ekstremisme.

Dalam satu kenyataan di laman web rasminya, OIC menegaskan bahawa tindakan itu dibuat sebagai salah satu keperluan yang sah di sisi undang-undang dan logik untuk amalan yang menyasarkan keselamatan dan kestabilan negara.

Sekretariat Umum OIC berkata, mereka mengikuti dengan teliti perkembangan semasa di rantau Teluk, iaitu pemutusan hubungan diplomatik dengan Qatar oleh beberapa negara anggota OIC susulan maklumat dan bukti tindakan permusuhan berpunca daripada Qatar.

Sekretariat Umum meminta Qatar menghormati komitmennya terlebih dahulu dan perjanjian yang telah ditandatangani dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC), khususnya yang berkaitan dengan menamatkan sokongan terhadap kumpulan pengganas dan aktiviti mereka serta menghentikan hasutan media.

Sekretariat Umum juga menekankan keperluan untuk semua negara anggota, termasuk Qatar, untuk mematuhi prinsip-prinsip Piagam OIC, yang menyeru untuk mematuhi dasar semangat kejiranan, menghormati kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah negara anggota, dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalam negeri mereka.

Semalam, empat buah negara Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dan menutup pintu-pintu sempadan dengan Qatar.

Terdahulu, Malaysia mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung krisis diplomatik di antara Qatar dengan empat buah negara Arab itu.

“Kita memang rapat dengan negara-negara Teluk namun buat masa ini kita sedang memantau rapat perkembangannya kerana masih tidak tahu apa isu sebenarnya,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Bagi Malaysia, Qatar merupakan rakan dagang ketiga terbesar negara di Asia Barat dengan keseluruhan perdagangan meningkat tiga kali ganda sejak 10 tahun lalu kepada AS $42.38 juta pada 2015 berbanding AS $26.5 juta pada 2005.

Antara eksport utama Malaysia ke Qatar adalah barangan elektrik dan elektronik serta mesin.

TAGS